suria

Berbasikal: Jurulatih bimbang kurangnya pelumba wanita acara lebuhraya

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad berbasikal lebuhraya wanita kebangsaan bimbang kurangnya barisan pelumba baru untuk dijadikan pelapis pada masa depan.

Mohd Shari Mohamad Nor berkata buat masa ini beliau masih boleh menyandarkan harapan kepada empat pelumba wanita yang ada, namun pada masa hadapan masalah kekurangan pelumba wanita berbakat sememangnya tidak dapat dielak.

"Ketika ini saya masih boleh bergantung kepada Mariana Mohamad, Noor Azian Alias, Masziyaton Mohd Radzi dan Nurul Ahmar Badeuzzaman untuk mewakili negara pada kejohanan antarabangsa.

"Bila tiba masanya nanti mereka akan bersara dari sukan ini, dan usaha melatih bakat baru memerlukan masa antara tiga hingga empat tahun sebelum mereka dapat diserap ke dalam skuad elit negara," katanya di sini hari ini.

Mohd Shari berkata sehingga kini beliau hanya mempunyai seorang atlet pelapis iaitu Norain Malik yang menunjukan aksi cemerlang di Sukan Mini Olimpik yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Malaysia (MSN) Ogos lepas.

Beliau berkata dalam usaha mengatasi masalah itu, pihak MSN akan mengadakan sesi pemilihan atlet pelapis bagi skuad berbasikal lebuhraya lelaki dan wanita di Ipoh, Perak pada Oktober ini.

"Usaha MSN harus dipuji namun persatuan tidak yakin berapa ramai pelumba wanita berbakat dan berkebolehan mampu dicungkil menerusi program itu kerana mereka kurang mendapat pendedahan," katanya.

Mohd Shari berkata kebanyakan kejohanan berbasikal dalam negara tidak melibatkan acara wanita dan ia menjadi salah satu faktor penyebab kenapa negara ketandusan pelumba basikal wanita. BERNAMA

Artikel Lain