suria

Laos umum sudah sedia anjur Sukan SEA KE-25

VIENTIANE: Laos hari ini mengisytiharkan bahawa negara itu sudah bersedia sepenuhnya untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA buat julung kali pada Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri Somsavath Lengsavath berkata hampir kesemua gelanggang pertandingan sudah disiapkan termasuk Kompleks Sukan Negara yang dibina oleh sebuah firma pembinaan dari China.

"Kompleks tersebut akan diserahkan kepada kami pada 23 September ini selepas proses pemasangan bekalan elektrik, air dan kemudahan sukan siap dalam bangunan itu," katanya pada taklimat kepada kumpulan pegawai diplomatik dan media di sini, semalam.

Turut hadir pada taklimat tersebut ialah Duta Malaysia ke Laos, Zainal Abidin Ahmad.

Somsavath berkata kompleks sukan itu mengandungi stadium utama yang dapat menampung 20,000 penonton, arena akuatik tertutup dengan 2,000 tempat duduk, sebuah pusat tenis, dua gelanggang tertutup dan sebuah lapang sasar tertutup.

Laos juga memberi jaminan bahawa kerja-kerja di stadium baru lain, pengubahsuaian kepada kemudahan sedia ada dan membaikpulih jalan raya dari bandar raya ini menuju ke venue pertandingan sedang berjalan lancar dan akan siap sebelum November.

Temasya sukan dwitahunan ke-25 itu dijangka disertai oleh 5,000 atlet dan pegawai dari 10 negara Asia Tenggara termasuk negara baru Timor Leste dari 9 hingga 18 Disember ini.

Laos, salah sebuah negara pengasas sukan itu, akan menganjurkan 25 jenis sukan dengan menawarkan 383 pingat emas.

Acara yang bakal dipertandingkan ialah olahraga, memanah, akuatik, badminton, biliard & snuker, tinju, berbasikal, bola sepak, golf, judo, karate, sepak takraw, menembak, ping pong, taekwondo, tenis, bola tampar, gusti, angkat berat, wushu, muay thai, petanque, silat, timang bulu ayam dan renang sirip.

Somsavath berkata mereka menghargai sumbangan negara jiran dan rakan perdagangan seperti Vietnam, Thailand, China, Korea Selatan, Jepun dan Brunei kerana membantu membina dan membiayai beberapa gelanggang pertandingan dan pusat latihan.

Katanya atlet akan ditempatkan di perkampungan sukan di Universiti Kebangsaan di sini dan semua langkah yang secukupnya telah diambil bagi memastikan keselamatan makanan.

Sebuah syarikat Malaysia juga akan menyediakan perkhidmatan pendaftaran peserta dan sistem keputusan manakala Laos akan membeli dan menyewa peralatan untuk menjalankan ujian dadah bagi memastikan ia mengikut piawaian antarabangsa, katanya.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain