suria

Iskandar ketuai skuad Badminton Remaja Dunia 2009

ALOR SETAR: Pemain remaja negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin bakal mengetuai skuad badminton remaja Malaysia bagi menghadapi cabaran Kejohanan Yonex Sunrise BWF Badminton Remaja Dunia 2009 di Alor Setar pada 23 Oktober.

Iskandar adalah antara 25 pemain remaja bawah 19 tahun yang sedang disaring untuk mewakili negara dan senarai penuh pemain beraksi pada kejohanan itu akan diumumkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Nadzmi Mohd Salleh dalam tempoh terdekat.

Pengurus BAM Kenny Goh berkata daripada 25 pemain yang sedang dipantau itu, 18 pemain terbaik dipilih untuk menggalas cabaran bagi merebut Piala Bimantara bagi acara perseorangan dan Piala Suhanditara bagi acara berpasukan.

"Ketika ini latihan giat sedang dijalankan untuk memastikan pemain kita dapat memberikan aksi terbaik dalam kejohanan itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Selain Iskandar, beliau berkata skuad negara juga sedang mengintai dua lagi pemain remaja iaitu Ow Yao Han dan Chooi Kah Ming ekoran prestasi membanggakan pada Kejohanan Remaja Asia Julai lepas.

Antara negara yang mengambil bahagian dalam kejohanan yang menyaksikan pemain pelapis dunia itu ialah England, Denmark, Perancis dan Amerika Syarikat.

Berdasarkan kedudukan kejohanan itu, China adalah pilihan utama dan Malaysia adalah pilihan kedua diikuti oleh pasukan India sebagai pilihan ketiga.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Warisan dan Kebudayaan Negeri, Dr Hamdan Mohamed Khalid berkata kejohanan itu akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim di Suka Menanti di sini.

"Kedah berbangga kerana dipilih sebagai tuan rumah kejohanan yang berprestij ini dan kita akan pastikan segalanya berjalan dengan lancar," katanya semasa sidang akhbar pelancaran logo kejohanan di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Ini adalah kali kedua Malaysia dipilih menjadi tuan rumah selepas kali pertama pada tahun 1994 di Kuala Lumpur.

Pada kejohanan lepas di Pune, India, skuad negara menjuarai acara beregu lelaki menerusi kombinasi Mak Hee Chun dan Teo Kok Siang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain