suria

Roslinda tumpu tiga kejohanan utama

ALOR SETAR: Tiga temasya penting iaitu Sukan Sea, Sukan Komanwel dan Sukan Asia menjadi sasaran utama ratu lompat bergalah negara, Roslinda Samsu untuk meraih kejayaan selepas gagal mempamerkan prestasi terbaiknya pada Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman baru-baru ini.

Roslinda, 27, berkata untuk mencapai sasaran tersebut, beliau kini sedang giat menjalani latihan dan berada pada fasa terakhir yang disifatkannya amat penting untuk melonjakkan prestasinya.

"Fasa ini lebih kepada taktikal iaitu menganalisis kembali corak latihan dan memperbaiki kelemahan yang ada sebelum bertanding," katanya.

Roslinda berkata kegagalan mempamerkan aksi terbaik ketika Kejohanan Dunia baru-baru ini juga akan dijadikan pengajaran kepadanya supaya lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kejohanan pada masa hadapan.

"Ketika kejohanan sebelum ini, saya akui hanya menyertai lima kejohanan sahaja sebagai persiapan dan ianya ternyata tidak mencukupi.

"Walau bagaimanapun, untuk menghadapi Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun hadapan, saya akan pastikan persediaan lebih baik," katanya selepas dipilih menjadi Ikon Sukma Negeri Kedah oleh Majlis Sukan Negeri itu dalam satu majlis yang diadakan di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Atlet kelahiran Kuala Nerang itu berkata, selain Sukan Asia dan Komanwel, beliau juga berazam untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi ketika Sukan Sea di Korat dua tahun lalu pada temasya yang sama di Laos, Disember ini.

"Sudah pasti saya tidak mahu melepaskan pingat emas acara ini kepada atlet lain kerana Sukan Sea juga merupakan temasya yang penting," katanya.

Roslinda yang merupakan pemegang rekod kebangsaan acara lompat bergalah dengan catatan 4.40 meter ketika ini menduduki ranking ke16 dunia acara itu. BERNAMA

Artikel Lain