suria

Kerajaan belanja RM16 juta untuk cari emas pertama dari Olimpik

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM16 juta bagi tempoh 2009 hingga 2012 untuk menjayakan program "Road to London 2012" yang bertujuan mencari pingat emas pertama Malaysia daripada Sukan Olimpik di London pada 2012.

Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan (JKPs) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sehingga kini 19 atlet dari empat acara sukan iaitu badminton, memanah, berbasikal dan terjun berada di dalam program tersebut.

"Pemilihan mereka berdasarkan pencapaian di peringkat antarabangsa dan kesemua atlet ini diberikan bantuan sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara termasuk 'dedicated team' dari Institut Sukan Negara (ISN)," kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat JKPS di sini semalam.

Beliau berkata kerajaan juga sedang merangka satu program bagi mendapatkan sokongan rakyat terhadap program sukan yang melibatkan atlet negara.

Sementara itu dalam perkembangan lain Muhyiddin berkata Dasar Sukan Negara (DSN) yang dikemaskini, sudah mendapat kelulusan JKPS untuk dibentangkan kepada kabinet dalam masa terdekat.

Muhyiddin berkata DSN yang dikemas kini itu memberi tumpuan yang lebih kepada pembudayaan sukan dalam membentuk integrasi nasional, sesuai dengan konsep 1Malaysia.

Beliau berkata DSN juga antara lain turut menggariskan perlunya sukan dibangunkan sebagai satu industri dan menjana pendapatan negara.

DSN, yang menjadi asas hala tuju sukan dalam negara, diwujudkan pada 1988 menyebabkan banyak jenis sukan yang belum wujud atau popular ketika itu tidak disenaraikan dalam dasar tersebut.

Pada Mac 2008, Menteri Belia dan Sukan ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan DSN dikaji semula untuk disesuaikan dengan perkembangan semasa.

Selepas beberapa kali ditangguhkan, DSN yang dibentangkan pada JKPS semalam mendapat kelulusan untuk diluluskan Kabinet.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek ketika mengulas perkembangan terkini program 'Road To London 2012' mengingatkan semua 19 atlet dri empat acara sukan di bawah program itu supaya meneruskan kecemerlangan, atau dipinggirkan.

Beliau berkata jumlah tersebut bukannya bersifat statik dan percaya lebih ramai atlet negara yang cemerlang dari acara lain, akan turut dimasukkan di dalam program tersebut berdasarkan pencapaian dan konsistensi mereka.

"Contohnya, program dimulakan dengan tumpuan kepada Datuk Lee Chong Wei daripada acara badminton dan tiga pemanah negara (Cheng Chu Sian, Wan Khamizam Wan Abdul Aziz dan Ahmad Marbawi Sulaiman) yang turut beraksi cemerlang di Sukan Olimpik di Beijing pada 2008.

"Tetapi kemudian atlet berbasikal (Mohd Azizulhasni Awang dan Mohd Rizal Tisin) juga turut mengukir kejayaan di pentas dunia, begitu juga penerjun (Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong). Jadi dimasukkan pula acara berbasikal dan terjun dalam program itu," katanya.

Atlet lain yang tersenarai ialah Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, Mohd Fairuzizuan Tazari/ Mohd Zakry Abdul Latif, Wong Mew Choo, Chin Eei Hui/Wong Pei Tty (badminton), Nazrin Aizad (memanah), Mohd Edrus Md Yunos dan Junaidi Mohammad Nasir dan Josiah Ng (berbasikal). BERNAMA

Artikel Sebelum

Liga Perdana England

Artikel Lain