suria

Motosikal: Affendi rangkul gelaran Underbone 115cc di Chennai

CHENNAI: Pelumba Malaysia Mohd Affendi Rosli berjaya mencuri tumpuan pada Kejuaraan Motosikal Asia Petronas apabila meraih gelaran kategori Underbone 115cc di Litar Madras di sini semalam.

Pelumba pasukan Harian Metro SCK Racing, yang menunggang motosikal Suzuki, memenangi acara 10 pusingan itu dengan catatan masa 20 minit 39.326 saat untuk mengumpul sejumlah 99 mata setakat ini.

"Saya amat bangga untuk muncul juara buat kali pertama selepas dua tahun, " katanya pada sidang akhbar di sini.

"Saya memulakan perlumbaan dengan baik sekali pada perlumbaan pertama dengan berada di kelompok utama pelumba tetapi menghadapi masalah teknikal di pusingan keempat dan terpaksa memperlahankan motosikal.

"Bagaimanapun, saya mengekalkan kedudukan dan mula memintas dengan berhatihati sehingga ke garisan penamat," katanya.

Pelumba Indonesia Denny Triyugo dan Florianus Royny, kedua-dua dari pasukan U Mild U Bikers Indonesia Racing Team, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dalam kategori tersebut.

Bagaimanapun, seorang lagi pelumba negara Decha Kraisat mengalami nasib malang apabila mendahului acara 600cc Supersports sebelum terbabas dengan tinggal satu pusingan.

Walaupun terbabas, Kraisat masih mencatatkan masa terbaik dengan 28 minit 18.478 masa pada perlumbaan pertama.

Acara itu dimenangi oleh rakan sepasukan Chalempol Polamai dengan mendahului acara itu dengan 165 mata dengan Kraisat di tangga kedua dengan 143 mata diikuti Mohd Zamri Baba dengan pungutan 116 mata.

Keputusan:

Super Bikes: 600cc (16 pusingan)

Perlumbaan 1: Decha Kraisat 28:18:478s, 2. Chalermpol Polamai 28:24:365s, 3. Zamri Baba 28:42:861s.

Perlumbaan 2: Chalermpol Polamai 28:26:695s, 2. Mohd Zamri 28:48:584s, 3. K. Rajini 29:00:374s.

Underbone 115cc: (10 pusingan)

Perlumbaan 1: Mohd Affendi Rosli 20:39:326s, 2. Denny Triyugo 20:39:685s, 3. Florianus Roy 20:39:846s.

Perlumbaan 2: 1. Mohd Iskandar 20:38:718s, 2. Mohd Affendi Rosli 20:38:785s, 3. Hafizh Syahrin Abdullah 20:39:181s. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain