suria

Malaysia dijangka sertai Kejohanan Kabadi dunia di Nepal

NEW DELHI: Lebih 250 peserta dari 12 negara termasuk dari Malaysia dijangka menyertai Kejohanan Kabadi Dunia yang julung kali diadakan di Nepal minggu depan.

Kejohanan anjuran Persekutuan Kabadi Dunia itu akan diadakan mulai 11 hingga 15 Sept ini di Siddartha Nagar, kira-kira 300km, dari ibu negara Kathmandu.

"Pertandingan itu akan dijalankan secara liga dan dibahagikan kepada tiga kategori kabadi bulatan, pantai dan tradisional untuk lelaki dan wanita," kata penyelaras jawatankuasa penganjur, Gyandev Hatuwal, kepada Bernama.

Kejohanan itu dibahagikan kepada tiga peringkat umur iaitu bawah 19 tahun, bawah 23 tahun dan kategori terbuka.

Selain tuan rumah Nepal, pasukan gergasi Asia Selatan seperti India, Sri Lanka dan Pakistan serta Afghanistan, Kanada, England dan Amerika Syarikat adalah antara negara yang mengesahkan penyertaan.

"Kami harap kejohanan dunia itu akan membantu Nepal dalam mempromosikan industri pelancongan serta membangunkan bidang sukan tempatan," kata Hatuwal.

Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM200,000.

Sukan kabadi akan menjadi sukan pertunjukkan pada Sukan Komanwel di New Delhi tahun depan. BERNAMA

Artikel Lain