suria

Penyerang utama skuad Kedah cedera, gugat peluang pasukan

ALOR SETAR: Setelah gagal mendapatkan tiga pemain luar seperti yang dibenarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pasukan Kedah kini ditimpa masalah baru apabila penyerang utamanya Mohd Khyril Muhymeen Zambri mengalami kecederaan serius di bahagian lutut.

Kecederaan Khyril semasa beraksi dalam perlawanan persahabatan melawan Kenya 12 Ogos lalu masih belum pulih dan ia mengugat kekuatan pasukan juara bertahan Piala Malaysia itu menghadapi Piala Malaysia yang akan membuka tirainya 26 September ini.

Ketua jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata kehilangan penyerang utamanya itu yang direhatkan selama enam bulan selepas menjalani pembedahan Selasa lalu, adalah sesuatu yang membimbangkan pasukannya.

"Ini adalah satu tugas sukar buat saya untuk memperkemaskan bahagian serangan kerana penyerang yang ada sekarang tidak begitu konsisten dengan aksi mereka", katanya kepada Bernama di sini hari ini selepas latihan pasukan itu di Stadium Darul Aman.

Katanya, pasukan bola sepak itu kini cuma mampu meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir sahaja dan tidak berjanji untuk menjulang piala Malaysia tahun ini.

Azraai berkata, jika pasukan itu berjaya ke peringkat separuh akhir ia adalah satu pencapaian besar ekoran masalah pemain yang melanda pasukan itu.

Bagaimanapun, beliau yakin kehadiran tiga pemain iaitu Badrul Bakhtiar, Sabree Abu dan Khairul Helmi Johari akan "melegakan" skuad selepas kembali dari Arab Saudi kerana mewakili negara pada perlawanan persahabatan baru-baru ini.

"Saya harap pengalaman mereka bertiga beraksi di peringkat antarabangsa akan menyumbang sesuatu kepada pasukan," katanya.

Kedah diundi dalam kumpulan E untuk kempen Piala Malaysia edisi kali ini bersama-sama Kelantan, Pulau Pinang dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan merupakan juara bagi dua musim berturut-turut iaitu 2007 dan 2008. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain