suria

Paralimpik: Atlet olahraga berusaha realisasikan sasaran 10 emas

KUALA LUMPUR: Skuad olahraga paralimpik remaja yang mengalas cabaran negara di temasya Sukan Para Asia Remaja di Tokyo, Jepun pada 11 hingga 13 September ini akan berusaha sebaik mungkin untuk merealisasikan sasaran yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

"Misi kami ke Tokyo agak berat iaitu untuk merealisasikan sasaran 10 pingat emas melalui acara olahraga. Ini kerana saingan kali ini lebih sengit berbanding edisi pertama di Hong Kong pada 2002," kata jurulatih R. Jeganathan di sini hari ini.

Menurutnya edisi kedua temasya Sukan Para Asia Remaja kali ini melibatkan penyertaan dari 37 buah negara berbanding hanya sembilan buah negara sahaja pada 2002.

Bagaimanapun, beliau yakin atlet-atlet di bawah kendaliannya mampu memberi saingan yang kuat kepada peserta-peserta dari negara lain.

"Pendedahan atlet dalam Sukan Para Asean bulan lepas banyak membantu persediaan mental dan fizikal atlet khususnya dalam menghadapi saingan yang lebih kuat di Tokyo," katanya.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek mengumumkan MSN meletakkan sasaran 12 pingat emas pada temasya itu dan 10 daripadanya melalui olahraga manakala selebihnya melalui acara renang.

"Pada temasya kali ini, kami akan menghantar seramai 25 orang atlet dan daripada jumlah itu, hanya dua orang atlet tidak terlibat dalam Sukan Para Asean barubaru ini. Berdasarkan prestasi yang ditunjukkan, mereka telah berjaya mengadaptasi tekanan semasa pertandingan," kata Jeganathan.

Beliau berkata penyertaan di Sukan Para Asia Remaja secara tidak langsung memberi pendedahan pertama kepada semua atlet yang berusia dalam lingkungan 14 hingga 19 tahun itu beraksi di luar negara.

Selain olahraga, Malaysia akan mengambil bahagian dalam empat acara lain iaitu renang, goalball, boccia dan dan sukan pertunjukan, tenis berkerusi roda. BERNAMA

Artikel Lain