suria

Skuad basikal lebuh raya wanita sasar dua emas Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Walaupun masih dibelenggu masalah kekurangan atlet, skuad berbasikal lebuh raya wanita negara yakin mampu membawa pulang sekurang-kurang dua pingat emas pada temasya Sukan SEA di Laos Disember ini.

Jurulatih skuad berbasikal lebuh raya wanita, Mohd Shari Mohamad Nor berkata walaupun jumlah pelumba wanita negara kecil, ini tidak bermakna ia akan menyekat peluang anak didiknya untuk memburu pingat emas di Laos nanti.

"Keadaan lebuh raya yang mendatar dan tidak berbukit tidak akan menyukarkan pelumba kita dan ini menambah lebih keyakinan kepada saya untuk meletakkan sasaran dua pingat emas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata lima pelumba wanita yang akan menggalas cabaran di Laos ialah Mariana Mohamad, Noor Azian Alias, Masziyaton Mohd Radzi, Kimbeley Yap Fui Lai dan Nurul Ahmar Badeuzzaman, dan beliau meletakkan sandaran pingat emas kepada dua pelumba seniornya, Mariana dan Noor Azian.

Walaupun saingan untuk memperoleh pingat emas bagi skuad wanita kurang cabaran, namun skuad negara terpaksa berhati-hati dengan pelumba wanita Thailand yang dijangka memberi saingan sengit kepada skuad negara, katanya.

"Disebabkan kekurangan kejohanan berbasikal bagi kategori wanita, skuad berbasikal lebuh raya wanita akan menjalani latihan di Melbourne, Australia selama sebulan lebih bermula awal Oktober ini kerana di sana ada kejohanan mingguan untuk kategori wanita," katanya.

Sementara itu jurulatih skuad berbasikal lebuh raya lelaki, Jamaluddin Omar berkata beliau hanya meletakkan sasaran satu pingat emas untuk skuad itu di Laos.

"Saya percaya bahawa salah seorang daripada pelumba dalam skuad lelaki mampu memenangi sekurangkurangnya satu pingat emas dan ini tidak mustahil kerana kita mempunyai barisan pelumba yang berpengalaman serta mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata senarai akhir namanama pelumba yang akan menggalas cabaran di Laos masih belum diputuskan dan ia hanya dibuat pada awal Oktober depan.

"Mereka yang tersenarai untuk menjalani program latihan persiapan ke Sukan SEA Laos bukanlah senarai akhir ke temasya sukan itu, sebaliknya kita akan mengadakan satu lagi pemilihan bagi memilih pelumba yang terbaik dan mempunyai potensi untuk mendapat pingat sahaja ke Laos nanti," katanya.

Lapan pelumba yang tersenarai untuk mengikuti progran persiapan ke Sukan SEA Loas ialah Suhardi Hassan, Mohd Nor Rizuan Zainal, Ahmad Fallanie Ali, Wan Mohd Najmie Wan Mohamad, Mohammad Rauf Nur Misbah, Anuar Manan, Mohd Sufi Mat Senam dan Mohd Sharul Mat Amin. BERNAMA

Artikel Lain