suria

Mohd Farizal makin selesa di posisi terakhir skuad kebangsaan

KUALA LUMPUR: Walaupun belum mencecah dua bulan beraksi sebagai penjaga gol skuad kebangsaan, Mohd Farizal Marlias kini semakin selesa untuk terus menguasai posisi itu bagi memastikan impian beraksi di Sukan SEA di Laos, hujung tahun ini tercapai.

Pemain berusia 23 tahun itu kini merupakan pilihan utama jurulatih kebangsaan K.Rajagobal sejak pertama kali dipanggil mewakili Malaysia pada perlawanan persahabatan menentang Zimbabwe pada 12 Julai lepas.

"Keyakinan memang semakin bertambah untuk berada di benteng terakhir pasukan setelah mengharungi beberapa perlawanan persahabatan terutamanya menentang pasukanpasukan dari luar negara," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Farizal berkata ketika menentang Manchester United pada bulan lepas, beliau tidak merasa gentar walaupun berdepan dengan pemainpemain terbaik dunia seperti Wayne Rooney, Michael Owen dan Dimitar Berbatov malah dapat bermain seperti biasa.

"Mungkin ia juga merupakan pengalaman yang saya kutip sebagai penjaga gol utama bersama Perlis sepanjang saingan Liga Super dan Piala FA sejak awal tahun ini," katanya.

Pemain kelahiran Pahang itu turut mendapat pujian daripada Rajagobal berikutan persembahan konsistennya ketika menentang Kenya dan China pada 12 dan 15 Ogos lepas.

Mohd Farizal berkata beliau kini menjalani latihan pusat sejak semalam di bawah kendalian jurulatih penjaga gol, Mohd Faozi Mukhlas bersamasama dua lagi penjaga gol, Syed Adney Syed Hussein (UPBMyTeam) dan Mohd Sharbinee Allawee Ramli yang mewakili pasukan Terengganu.

"Kami bertiga kini bersaing secara sihat untuk merebut posisi itu dengan masingmasing mempamerkan aksi terbaik walaupun Syed Adney lebih senior daripada saya," katanya.

Skuad kebangsaan dijadualkan bertemu Arab Saudi pada 30 Ogos dan 1 Sept di Stadium King Fahd, Riyadh pada perlawanan persahabatan serta turut dijadualkan menentang skuad kebangsaan Jordan, empat hari selepas itu.

"Saya akan cuba memberikan aksi yang terbaik untuk menjaga gawang Malaysia daripada dibolosi jika terpilih untuk beraksi ketika menentang Arab Saudi nanti," katanya.

Mengenai latihan semasa bulan puasa, Mohd Farizal berkata mereka hanya berlatih di sebelah petang dan malam sahaja di Wisma Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain