suria

Pembangunan sukan paralimpik peringkat negeri awal tahun depan

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) akan memulakan program pembangunan sukan paralimpik prestasi tinggi peringkat negeri mulai suku pertama tahun hadapan bagi menyelaraskan pembangunan sukan paralimpik secara menyeluruh di seluruh negara.

Pengarah Cawangan Paralimpik MSN Mohd Safrushahar Yusoff yakin penyelarasan sukan itu di bawah MSN akan lebih menggalakkan penglibatan orang kurang upaya dalam sukan seterusnya meningkatkan prestasi sukan paralimpik negara.

"Melalui program ini, MSN akan menyediakan tempat latihan serta jurulatih berkelayakan untuk atlet-atlet paralimpik peringkat negeri. Harapan kami adalah lebih banyak bakat baru akan dapat dilahirkan untuk diserap sebagai atlet pelapis dan seterusnya atlet negara," katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata program ini akan dijalankan secara berkala dan bukan sepenuh masa seperti yang dijalankan untuk atlet elit di MSN dan ini bermakna atlet peringkat negeri tidak akan menerima insentif yang diberikan kepada atlet paralimpik program pusat. Safrushahar berkata program penyelarasan itu adalah hasil resolusi yang dicapai semasa Seminar Pembangunan Sukan Paralimpik Prestasi Tinggi yang dianjurkan MSN pada 28 hingga 30 Jun lepas.

Seminar berkenaan yang dihadiri Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Belia dan Sukan, Bahagian Pendidikan Khas serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) Orang Kurang Upaya telah bersetuju bahawa semua pembangunan sukan paralimpik di peringkat negeri akan diselaraskan di bawah pengendalian MSN.

"Setakat ini, MSN gagal membangunkan sukan paralimpik di peringkat negeri secara menyeluruh kerana kami perlu mengambil kira beberapa perkara termasuk tahap kesediaan negeri tersebut untuk mengendalikan program sukan itu.

"Namun kami berharap apabila program itu dilaksanakan, suasana yang lebih sistematik dapat diwujudkan dalam arena sukan paralimpik negeri," katanya.

Buat masa ini, MSN hanya mempunyai program seumpama itu untuk sukan renang, olahraga, badminton, tenpin boling dan angkat berat di Sarawak.

"Program ini telah dimulakan di Sarawak berdasarkan pencapaian atlet mereka di Sukan Paralimpiad Malaysia serta tahap kesediaan Sarawak membangunkan sukan paralimpik di negeri mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain