suria

Malaysia boleh anjur Kejohanan Dunia jika ada velodrom tertutup

KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan untuk membina velodrom tertutup basikal trek bertaraf Olimpik bukan satu pembaziran kerana ia akan membolehkan Malaysia menganjur kejohanan bertaraf dunia, kata Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad.

"Ia bukan saja dapat beri manfaat kepada pembangunan pelumba negara daripada segi latihan malah kita boleh membida kepada UCI (Kesatuan Berbasikal Dunia) untuk anjurkan Kejohanan Trek Dunia dan Piala Dunia Klasik yang merupakan kejohanan peringkat tertinggi selepas Sukan Olimpik," katanya kepada Bernama hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek barubaru ini berkata beliau akan mencadangkan pembinaan velodrom tertutup itu dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Cadangan itu tercetus ekoran beberapa kejayaan pelumba trek negara di peringkat antarabangsa termasuk yang terbaru memenangi dua pingat emas, dua perak dan dua gangsa pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Kalimantan.

Di Asia, hanya China yang terlibat dalam sirkit Piala Dunia Klasik.

"Kalau kita ada velodrom yang bagus kita boleh jadi tuan rumah juga, sama ada kita bida atau penganjurannya dibuat secara bergilirgilir dengan Beijing," kata Naim.

Beliau berkata pembinaan velodrom itu tidak akan merugikan kerajaan kerana gelanggang itu mempunyai pelbagai fungsi yang mampu memberi sumber pendapatan kepada negara. "Kalau boleh velodrom itu hendaklah 'multipurpose', boleh adakan banyak acara sambutan perayaan, hiburan, (dan) di tengahtengah velodrom itu kita boleh buat gelanggang sukan lain seperti bola keranjang, bola jaring atau badminton seperti yang ada di tempat lain," kata Naim.

Beliau berkata velodrom itu boleh turut dijadikan Akademi Basikal Serantau untuk pelumba luar khususnya pelumba sekitar Asia Tenggara dan mereka yang berlatih di situ akan dikenakan bayaran.

Ditanya mengenai lokasi yang bersesuaian bagi tapak velodrom itu, Naim mencadangkan ia dibina sekitar Cyberjaya, yang berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Malaysia kini mempunyai dua velodrom terbuka iaitu Velodrom Kuala Lumpur di Cheras dan Velodrom Rakyat di Ipoh. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain