suria

KL'09: Malaysia raih empat emas dari catur hari ini

KUALA LUMPUR: Skuad catur paralimpik negara berjaya memenangi empat pingat emas pada acara catur Sukan Para Asean kelima (KL'09) yang berlangsung di Dewan Komanwel, Majlis Sukan Negara, di sini hari ini.

Pemain harapan Nur Feiqah Maulud Mohd Halil menepati ramalan apabila berjaya mengulangi kejayaan di Korat, Thailand pada 2008 selepas memenangi dua pingat emas bagi kategori individu wanita B2/B3 (rabun) dan kumpulan wanita B2/B3 bersama Norain Fatihah Mohd Yusoff dan Athirah Azman.

Beliau berjaya memperolehi pingat emas bagi acara individu wanita B2/B3 selepas memenangi lima daripada enam pusingan perlawanan tersebut.

Nur Feiqah berkata beliau akan terus berusaha meningkatkan kemahiran dan penguasaan catur dari semasa ke semasa agar terus kekal sebagai juara peringkat Asean.

"Kalau boleh selepas ini saya ingin lebih mendalami ilmu sukan catur menerusi pembacaan agar tidak ketinggalan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Nur Feiqah berkata walaupun berjaya mencapai sasaran, perjuangannya untuk memburu pingat emas bagi acara berikutnya masih belum selesai.

"Sasaran individu saya adalah untuk memperolehi dua lagi pingat emas bagi kategori individu terbuka wanita (B1,B2,B3) dan kumpulan terbuka wanita (B1,B2,B3) yang akan bermula esok," katanya.

Ketua jurulatih skuad catur paralimpik negara Abdul Latif Mohammad berkata dengan kejayaan hari ini, misi skuad catur paralimpik negara untuk memburu enam pingat emas kini semakin menghampiri sasaran.

Sementara itu pingat emas ketiga bagi Malaysia disumbang oleh atlet veteran Choo Min Wang, 69, bagi kategori individu lelaki B2/B3.

Satu lagi pingat emas Malaysia dikutip menerusi acara berpasukan wanita kategori PH (kecacatan fizikal) yang dibarisi oleh Intan Juliana Jamal Abidin, Aqilah Syahira Ahmad dan Tham Siew Foong. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain