suria

KL' 09: Usia bukan penghalang Law King Kiew beraksi cemerlang

KUALA LUMPUR: Usia tidak menjadi penghalang buat atlet paralimpik negara, Law King Kiew untuk merangkul dua pingat emas dalam acara merejam lembing dan lempar cakera F55 (berkerusi roda) wanita pada hari kedua Sukan Para Asean kelima (KL'09), di sini semalam.

Atlet berusia 49 tahun itu mencatat balingan sejauh 11.25 meter acara merejam lembing bagi memperbaharui rekod lama, 10.76m yang dibuat pada Sukan Para Asean Korat 2008 untuk merangkul emas menewaskan rakan senegara, Azizah Taib (9.87m).

Naria Africita Salazar dari Filipina pula merangkul pingat gangsa (7.63m).

King Kiew juga menyamai rekod yang dicatatnya di Korat, 14.55m bagi acara lempar cakera F55 pada balingan kedua untuk meraih pingat emas pada sesi pagi hari kedua acara olahraga semalam.

Pingat perak untuk acara itu juga dimenangi oleh Azizah (12.00m) dan gangsa menjadi milik atlet Filipina, Naria Africita Salazar (10.34m).

King Kiew menganggap kemenangan hari ini sesuatu yang tidak dijangkakan akibat keadaan kesihatan beliau yang merosot tiga bulan lalu.

"Saya terlantar di atas katil dan hampir berputus asa untuk menyertai KL'09. Namun berkat doa dan kepercayaan jurulatih dan keluarga yang tinggi terhadap diri, saya berjaya memberikan yang terbaik semalam," katanya.

Atlet itu pernah membanggakan negara apabila muncul atlet paralimpik pertama negara yang memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Powerlifting Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) ketiga pada tahun 2002 sebelum menceburi acara merejam lembing dan lempar cakera.

"Sasaran saya seterusnya ialah pada Sukan Paralimpik Asia Guangzhou 2010. Jika diberikan kepercayaan untuk mewakili negara tahun depan, saya pasti akan memberikan persembahan terbaik,"katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain