suria

Selangor tutup liga dengan kemenangan bergaya

SHAH ALAM: Selangor menutup tirai Liga Super malam ini dengan kemenangan bergaya apabila berjaya menundukkan bekas juara, Pahang 5-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Di sebalik kekalahan ke-19 musim ini, Pahang tersingkir dari saingan Liga Super untuk musim hadapan setelah hanya berjaya mengutip 18 mata di belakang Pulau Pinang yang masih mempunyai dua lagi perlawanan. Bagaimanapun, Pahang memulakan perlawanan dengan penuh semangat untuk mendahului pada minit ke13 menerusi jaringan Muhammad Badrul Hisani.

Kelebihan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Selangor menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi sepakan penalti Mohd Safee Mohd Ali.

Selangor kemudian melancarkan serangan bertali arus dan usaha mantap pasukan itu membuahkan hasil menerusi jaringan ketua pasukannya Mohd Amri Yahya pada minit ke-43. Pada babak kedua perlawanan, Mohd Shafee sekali lagi menyumbang gol buat Selangor pada minit ke-59 diikuti jaringan keempat oleh Mohd Amri pada minit ke-63 dan terakhir oleh R.Surendren pada minit ke-68. BERNAMA

Artikel Lain