suria

Malaysia meraih gangsa menerusi Mohd Amirul Shafiq

LANGKAWI: Malaysia meraih gangsa, satu-satunya pingat yang dirangkul negara menerusi pelayar pelapis kebangsaan, Mohd Amirul Shafiq manakala Khairunneeta Mohd Afendy hanya berpuashati di tempat keempat kategori Byte C2 masing-masing dalam kelas lelaki dan perempuan keseluruhan Kejohanan Sukan Remaja Asia (AYG) yang berakhir di Singapura hari ini. Pengurus besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Mohd Afendy Abdullah menerusi email kepada Bernama di sini hari ini berkata, kejayaan itu dicapai selepas kedua-dua pelayar itu menamatkan perlumbaan ke-11 hari ini. Katanya, pada perlumbaan hari ini, Mohd Amirul Shafiq menyempurnakan perlumbaan dengan menduduki tempat kedua bagi membolehkannya mengumpul mata untuk layak memenangi pingat gangsa. Tiupan angin 1214 knot pada perlumbaan hari ini merupakan satu-satunya keadaan yang diharapkan oleh pelayar negara, katanya. Mohd Afendy berkata, Khairunneeta berjaya menguasai perlumbaan ke11 dengan menduduki tempat pertama diikuti China dan Pakistan, manakala Thailand menarik diri dipertengahan perlumbaan. Namun, kejayaan Khairunneeta itu tidak memberi apa-apa makna dan hanya kekal di tempat keempat keseluruhan.

Sementara itu, Mohd Afendy berkata Malaysia bangga dengan pencapaian pelayar kebangsaan, Khairul Nizam Mohd Afendy menduduki tempat ketiga di kalangan 197 pelayar mewakili 47 negara setelah menamatkan tiga perlumbaan di European Laser Radial Championship di Denmark semalam. Menurutnya Khairul Nizam masih ada sembilan perlumbaan dengan mensasar 60 pelayar terbaik. Seorang lagi pelayar negara Mohd Romzi Mohamad akan turut menggalas cabaran Malaysia pada Khamis depan (9 Julai) dalam kategori senior. Mohd Afendy berkata pelayar-pelayar negara itu sudah bersedia mengatasi pencapaian Dr Kavin Lim di Sukan Olimpik sebelum ini. Selepas tiga perlumbaan semalam, Khairul Nizam mengumpul 16 mata.BERNAMA

Artikel Lain