suria

Lima negara sertai kejohanan silat jemputan Asean

KUALA TERENGGANU: Lima negara akan berentap pada Kejohanan Silat Jemputan Asean Pertama di Stadium Tertutup Gong Badak dekat sini, Jumaat ini.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Rosdi Awang berkata negara-negara yang akan menyertai kejohanan lima hari itu ialah Vietnam, Indonesia, Singapura, Brunei dan Malaysia.

"Pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah kejohanan ini ialah kerana sebelum ini kami berjaya menganjurkan Kejohanan Silat Dunia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya penganjuran kejohanan silat jemputan itu merupakan langkah pertama dalam usaha menyatukan persatuan-persatuan silat di kalangan negaranegara Asean.

Beliau berkata kategori-kategori yang akan dipertandingkan pada kejohanan anjuran Persatuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Majlis Sukan Negara, MSNT dan kerajaan Terengganu itu ialah silat olahraga lelaki dan perempuan serta silat seni.

Katanya Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said akan merasmikan kejohanan itu di Stadium Tertutup Gong Badak, Ahad ini.

Rosdi berkata kejohanan itu juga dilihat dapat meningkatkan lagi mutu persilatan negara-negara peserta bagi menghadapi Sukan SEA di Laos hujung tahun ini, dan menurutnya kira-kira 150 pesilat lelaki dan wanita dijangka menyertai kejohanan itu nanti. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain