suria

Tiada larangan menyeluruh sertai acara sukan di luar negara

BANGKOK: Kementerian Belia dan Sukan tidak mempunyai rancangan segera untuk mengeluarkan larangan menyeluruh terhadap atlet Malaysia yang mengambil bahagian dalam acara sukan di luar negara ekoran wabak Influenza A(H1N1), sebaliknya akan menelitinya mengikut kes.

Menteri berkenaan Datuk Ahmad Shabery Cheek hari ini berkata kementerian itu akan menunggu arahan daripada Kementerian Kesihatan sebelum membuat keputusan melarang atlet daripada melakukan perjalanan ke luar negara, tetapi larangan sedemikian hanya meliputi acara di bawah skopnya manakala olahragawan dan olahragawati individu atau profesional akan dibenarkan membuat pilihan sendiri.

Beliau berkata Malaysia tidak boleh menarik diri begitu sahaja daripada bertanding di luar negara melainkan keadaan benarbenar serius, sambil menambah pertimbangan juga perlu dibuat bahawa negara sendiri akan menganjurkan beberapa acara peringkat antarabangsa, termasuk Sukan Para Asean di Kuala Lumpur dari 15 hingga 19 Ogos.

"Kami akan menunggu arahan dan garis panduan daripada Kementerian Kesihatan memandangkan mereka lebih tahu tentang keadaan ini. Institut Sukan Negara (ISN) juga akan memantau rapi perkembangannya," katanya ketika diminta mengulas keputusan Kementerian Pelajaran membatalkan penyertaan pelajar Malaysia dalam semua acara sukan peringkat Asean dan antarabangsa pada bulan ini serta Julai.

Ahmad Shabery, yang berada di sini bagi menghadiri Mesyuarat MenteriMenteri Belia Asean kali keenam, berkata kementeriannya tidak akan membantah keputusan Kementerian Pelajaran memandangkan ia membabitkan acara di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.

"Kami akan melihat dulu negara penganjur dan sama ada mereka mempunyai prosedur ketat bagi menyaring ketibaan atlet dan warga asing, seperti yang dilakukan oleh Singapura barubaru ini untuk kejohanan bola sepak Asia," katanya selepas menyaksikan Malaysia mengalahkan Brunei 30 dalam Bola Sepak Piala Belia Asean (Bawah14) di sini. Malaysia, yang diwakili oleh Sekolah Sukan Terengganu, akan bertemu Indonesia dalam perlawanan akhir pada Sabtu.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong mengumumkan larangan itu pada Khamis, yang antara lain membabitkan penyertaan dalam acara sukan antara sekolah Asean yang dijadual dari 20 hingga 29 Julai di Thailand dan program pertukaran pelajar di Singapura pada Sabtu.

Ahmad Shabery berkata Malaysia memberi perhatian serius kepada aspek keselamatan, sambil memberi contoh pembatalan kejohanan bola sepak Piala Antara Benua yang disertai lapan pasukan, yang dijadual berlangsung awal Jun ekoran kebimbangan wabak H1N1. Antara pasukan yang dijangka mengambil bahagian ketika itu termasuk Mexico, lokasi virus itu disyaki berasal.

Beliau berkata kementeriannya akan bekerjasama rapat dengan kementerian Kesihatan untuk menguatkuasakan prosedur ketat bagi menyaring atlet dan pegawai yang mengambil bahagian dalam acara sukan di negara itu agar Malaysia dapat menyampaikan mesej yang tegas bahawa isu kesihatan diberikan keutamaan dan meningkatkan keyakinan negara yang mengambil bahagian.

Langkah itu perlu, lebihlebih lagi menjelang Sukan Para Asean memandangkan Malaysia membelanjakan kirakira RM4 juta bagi menganjurkan acara itu yang dijangka menarik penyertaan 1,200 atlet dan pegawai. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain