suria

'Kontrak saya sebagai Pesuruhjaya Sukan belum tamat' - Nik Mahmud

KUALA LUMPUR: Datuk Nik Mahmud Nik Yusof berkata kontraknya sebagai Pesuruhjaya Sukan hanya akan tamat pada Jun tahun depan sekaligus menafikan spekulasi yang menyatakan beliau akan bersara dalam masa terdekat.

Nik Mahmud berkata beliau ditawarkan kontrak selama dua tahun untuk memegang jawatan itu bermula April 2008 dan bersedia untuk menyambung kontrak jika perkhidmatan beliau masih diperlukan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Kontrak saya masih belum tamat dan dakwaan itu adalah tidak benar dan ini adalah kali kedua saya ditanya mengenai perkara tersebut," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Spekulasi mengenai berakhirnya kontrak beliau tersebar di laman blog, yang turut mencalonkan beberapa nama pemimpin sukan untuk menggantikan tempat Nik Mahmud. Nik Mahmud bagaimanapun berkata walaupun kontraknya akan tamat pada Jun tahun depan pihak KBS berhak untuk menamatkan kontrak itu.

"Saya telah berkhidmat lebih kurang 37 tahun sebagai penjawat awam dan saya akur sekiranya khidmat saya tidak diperlukan lagi," katanya.

Bagaimanapun sehingga hari ini beliau masih belum membuat perancangan untuk bersara. Nik Mahmud menggantikan tempat Tan Sri Elyas Omar sebagai Pesuruhjaya Sukan pada April 2008.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (2003-2004) dan Ketua Setiausaha (2004-2005) di KBS sebelum dilantik sebagai Pengerusi Panel Penasihat Sukan (2005-2008). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain