suria

Harimau Muda makin garang kuasai Liga Perdana, Johor tewas

KUALA LUMPUR: Harimau Muda mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana apabila menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 30 dalam perlawanan di Stadium Selayang malam ini.

Gol pertama skuad Harimau Muda hadir pada minit ke-36 melalui Yusaini Hafiz Che Saad yang bijak menyempurnakan peluang berikutan tandukan yang tidak kemas pertahanan ATM Mohd Zahari Zaini ketika cuba mengeluarkan bola hasil sepakan sudut.

Pada minit ke-63, Harimau Muda sekali lagi menghukum penjaga gol ATM Mohd Khairol Anuar hasil percubaan cantik Ahmad Shakir Md Ali dalam kotak penalti.

Ketua pasukan Harimau Muda K. Gurusamy Govandar kemudian menambah sengsara ATM hasil sepakan percuma yang menerjah jaring pasukan lawan.

Kemenangan Harimau Muda malam ini membolehkan mereka menjarakkan kedudukan dengan Johor dengan kelebihan sembilan mata selepas pencabar terdekat itu tewas 0-1 kepada Shahzan Muda malam ini.

Bagaimanapun Johor beraksi kurang satu perlawanan berbanding Harimau Muda.

Dalam perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu, nasib tidak menyebelahi Johor yang terpaksa akur dengan kekalahan kepada Shahzan Muda melalui sepakan penalti Jalaluddin Jaafar.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, serangan bertubi-tubi TTeam tidak membuahkan hasil apabila perlawanan bersudahan seri tanpa jaringan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain