suria

Rakyat Malaysia berpeluang beraksi di Old Trafford

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia mungkin berpeluang beraksi di hadapan lebih 76,000 penonton di Stadium Old Trafford, stadium keramat pasukan bola sepak Manchester United.

Ketua program Sekolah Bola Sepak Manchester United (MUSS) Aide Iskandar berkata peluang tersebut terbuka kepada para pelatih MUSS yang datang menghadiri sesi latihan di Kelab Diraja Selangor Bukit Kiara pada 1 hingga 5 Jun dan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 hingga 12 Jun ini.

"Enam pelatih terbaik daripada keduadua lokasi ini akan dipilih untuk menyertai pertandingan 'Skills Test' di Singapura 21 Jun depan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, seorang peserta terbaik daripada pertandingan itu akan melayakkan diri ke pertandingan "World Skill Test Final" di Manchester, England untuk merebut peluang beraksi di Old Trafford sebelum sepak mula Liga Perdana Inggeris bagi pasukan berkenaan musim depan.

MUSS yang merupakan program pembangunan akar umbi di bawah kelab Inggeris terkemuka, akan mengadakan program pembangunan kemahiran bola sepak pertamanya untuk kanak-kanak Malaysia bulan depan.

Program lima hari itu terbuka kepada kanakkanak lelaki dan perempuan berumur tujuh hingga 18 tahun dan yuran pendaftaran ialah RM980 seorang.

Bagi setiap venue, MUSS hanya menempatkan 128 peserta, 64 berlatih di sebelah pagi sementara 64 lagi sebelah petang. Setiap sesi berlangsung selama tiga jam.

Semua peserta akan menerima kit penuh MUSS kit Nike, beg dan sijil penyertaan.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, ibu bapa atau penjaga yang berminat boleh melayari laman web Manchester United Soccer School di www.musssea.com. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain