suria

Malaysia layak ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Asia

KUANTAN: Malaysia mengekalkan rekod tanpa kalah untuk layak ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Asia 2009 selepas menewaskan Jepun 4-1 pada perlawanan Kumpulan A di Stadium Hoki Wisma Belia di sini, semalam.

Malaysia akan menentang juara kumpulan B, Pakistan, pada saingan separuh akhir Khamis ini.

Malaysia, yang turun ke gelanggang dengan berbekalkan satu kemenangan dan satu seri, membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi jaringan padang Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil.

Sebelum perlawanan berhenti rehat, Malaysia mengukuhkan kedudukan menerusi jaringan Kevinder Singh Makbul Singh pada minit ke-33.

Sebaik babak kedua bermula, Jepun memperkemaskan rentak perlawanan dan berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Ryuji Furusato pada minit ke-41.

Namun, semangat juang pasukan negara terus diterjemahkan dengan jaringan gol ketiga menerusi Chua Boon Huat pada minit ke-60.

Tujuh minit kemudian tuan rumah terus melebarkan sayapnya melalui jaringan dari pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Selvaraju Sandrakasi.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika ditemui selepas tamat perlawanan berkata, pasukan negara telah mencapai sasaran untuk layak ke peringkat separuh akhir.

Katanya, perjuangan seterusnya adalah bergantung kepada para pemain sendiri bagaimana mereka harus menguatkan azam dan semangat untuk terus melangkah lebih jauh dalam pertandingan itu.

"Saya percaya pemain akan bermain dengan semangat yang tinggi pada perlawanan seterusnya kerana Malaysia sudah lama dahagakan kejayaan besar," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih pasukan negara, Tai Beng Hai berkata, beliau tidak menjangkakan anak buahnya mampu memberi aksi yang cukup cemerlang dalam perlawanan menentang Jepun.

"Pada mulanya memang menjangkakan satu perlawanan yang sengit tetapi pemain telah membuktikan sebaliknya," katanya.

Mengenai perlawanan separuh akhir dengan Pakistan, katanya, pasukan negara tidak boleh memandang rendah terhadap keupayaan pasukan lawan kerana mereka mempunyai ramai pemain bertaraf antarabangsa.

"Pakistan mempunyai empat pemain yang bermain di Eropah di mana seorang daripadanya merupakan pakar sudut penalti.

"Manakala tiga lagi permain itu mempunyai pengalaman yang cukup luas, tetapi kita akan cuba memberikan yang terbaik ketika menentang mereka," katanya.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Korea Selatan turut melangkah ke separuh akhir apabila berjaya menewaskan Bangladesh 90.

Gol Korea berjaya dijaringkan oleh Nam Yong Lee pada minit kedua, Byung Hoon Kim (ke-16, 37, 49 dan 67), Hyun Woo Nam (29, 32), Kyung Min Jin (60) dan Hyo Sik You (68).

Sementara, perlawanan Kumpulan B menyaksikan China turut layak ke perlawanan separuh akhir selepas berjaya mengikat India dengan keputusan seri 2-2.

India terlebih dahulu membuat jaringan menerusi Sandeep Singh pada minit ke-33 dan 34 sebelum China bangkit bagi menyamakan kedudukan menerusi jaringan Feng Hui Lu dan Yang Yu pada minit ke-44 dan 58.

China akan menentang Korea Selatan pada separuh akhir Khamis ini. BERNAMA

Artikel Berikut

BAM sedia bantu Laos

Artikel Lain