suria

Nurul Ain perlu penaja untuk penuhi impian ke Olimpik

PUTRAJAYA: Hasrat jaguh pelayaran Asean, Nurul Ain Md Isa untuk bertanding di Temasya Olimpik London 2012 mungkin tidak kesampaian jika beliau tidak mendapat tajaan bagi meneruskan usahanya mengumpul mata untuk layak ke kejohanan itu.

Nurul Ain, 24, berkata beliau harap Majlis Sukan Negara (MSN) dan badan sukan lain dapat membantunya dari segi kewangan dan bantuan lain.

"Dengan kemahiran dan kebolehan yang sedia ada, saya bercitacita untuk menyumbang sesuatu dengan cara mewakili negara ke Sukan Olimpik dan ia merupakan impian saya sejak dari dahulu lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pelayar berasal daripada Perak itu berkata sebelum ini beliau banyak mengguna duit sendiri untuk bertanding dan menjalani latihan namum untuk ke peringkat yang lebih tinggi beliau memerlukan bantuan dan sokongan daripada pihak lain.

Nurul Ain berkata bagi memantapkan lagi kemahiranya, beliau perlu lebih kerap bersaing dengan pelayar dari luar negara kerana ianya akan banyak membantu beliau apabila menghadapi kejohanan sebenar nanti.

"Jika ingin layak ke olimpik saya perlu mengumpul mata kelayakan dengan mengikuti kejohanan yang telah disenaraikan oleh Persekutan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) dan ia melibatkan kos yang tinggi," katanya.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata kementeriannya akan meneliti jenis bantuan yang sesuai kepada Nurul Ain.

"Apabila telah mempunyai atlet yang berbakat seperti Nurul Ain, kita tidak akan mensiasiakan bakat yang ada pada beliau sebaliknya akan cuba membantu," katanya.

Beliau berkata pengarah perlumbaan kejohanan Piala Monsun Malaysia Datuk Peter Gilmour telah mencalonkan nama Nurul Ain sebagai salah seorang pelayar berbakat yang sepatutnya diberi perhatian kerana beliau mempunyai potensi yang tinggi untuk dimajukan.

Nurul Ain yang mula belayar pada umur 13 tahun pernah menjadi johan kategori wanita Kejohanan Optimist Asean di Singapura pada 2000 dan Naib Juara Kejohanan Pelayaran Asia di Dubai pada 2001. BERNAMA

Artikel Lain