suria

Johor, Harimau Muda terus bersaing untuk takhta Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Pasukan Johor dan Harimau Muda meneruskan persaingan sengit untuk berada di taktha Liga Perdana setelah masing-masing mencatatkan kemenangan pada perlawanan Isnin malam.

Kedua-dua pasukan itu kini mengumpul 31 mata namun Johor berada di kedudukan pertama dengan kelebihan tiga jaringan gol berbanding Harimau Muda.

Pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Johor Baharu malam ini, Johor berjaya membenam cabaran Proton FC 2-0 dengan Mohd Saruzi Daud membuka jaringan seawal minit ke-10.

Mohd Khairul Ismail menambah gol kedua tuan rumah pada minit ke-83 melalui sepakan penalti untuk memberikan kemenangan kesepuluh daripada 12 perlawanan yang telah diharungi oleh anak-anak buah Nasir Yusuf.

Harimau Muda pula meneruskan tekanan ke atas Johor dengan meraih tiga mata apabila menewaskan Kuala Lumpur 2-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Skuad bawah 20 tahun kebangsaan itu yang mendapat sentuhan pertama jurulatih Ong Kim Swee di bangku simpanan nyata mempamerkan kesungguhan apabila merobek gol lawan seawal minit ke-16 melalui Shahrul Hafiz Shafie.

Mereka terus mengukuhkan kedudukan pada minit ke-32 apabila ketua pasukan Kuala Lumpur Azidan Sarudin tertampan bola ke gol sendiri manakala gol saguhati tuan rumah hadir pada minit ke-88 melalui Badrul Hisyam Azmi.

T-Team pula kekal ditangga ketiga liga apabila membelasah Shahzan Muda 5-0 di Stadium Sultan Mizan, Kuala Terengganu.

Mohd Harris Safwan meledak dengan hatrik pada minit ke-14, 40 dan 60 manakala Azrul Azram Aminuddin dan Mohd Norfarhan Asan masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-31 dan 33.

Melaka pula gagal menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 sama dengan Felda United di Stadium Hang Jebat.

Pelawat terlebih dahulu membuka jaringan melalui Mohd Hazshafiq Hamzah pada minit ke-24 sebelum Ahmad Kamil Abd Ghani menyamakan kedudukan pada minit ke-70 permainan.

Sementara itu, dua gol oleh Joseph Kalang Tie pada minit ke-22 dan 43 membolehkan Sarawak menewaskan SDM Kepala Batas 2-1 di Stadium Sarawak di Kuching manakala gol saguhati pelawat dijaringkan pada minit ke-15 melalui Hasni Hakim Hamid.

Artikel Lain