suria

Hammam ubah pendirian pindah Ibu pejabat AFC selepas jumpa Najib

KUALA LUMPUR: Ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) atau AFC House akan kekal di Bukit Jalil, dekat sini, selepas agenda untuk membincangkan pemindahan ibu pejabat itu digugurkan pada Kongres ke-23 badan gabungan itu di sini hari ini.

Presiden AFC Mohamed Hammam, yang mencadangkan supaya agenda nombor 13 itu digugurkan daripada aturan mesyuarat, berkata tindakan itu diambil berdasarkan beberapa fakta ekoran pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

"Perdana Menteri bersetuju melihat beberapa isu yang dibangkitkan mengenai AFC House. Oleh itu, saya cadangkan supaya agenda nombor 13 digugurkan daripada mesyuarat hari ini," katanya kepada perwakilan pada kongres itu di sini.

Cadangan Hammam itu diterima oleh perwakilan.

Beliau bersama presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Datuk Joseph Blatter telah mengunjungi Najib di Putrajaya semalam.

Majlis eksekutif AFC pada mesyuarat akhirnya September lepas telah membuka bidaan kepada 46 negara anggota badan gabungan itu untuk mencadangkan lokasi baru ibu pejabat AFC. Tawaran bidaan itu ditutup pada 31 Oktober tahun lepas.

Difahamkan antara negara yang berminat untuk menempatkan ibu pejabat AFC itu ialah Singapura, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.

Kebanyakan negara kemudian memberi maklum balas negatif terhadap cadangan menarik keluar ibu pejabat AFC dari Malaysia dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan bahawa mereka tidak akan merayu terhadap cadangan AFC itu tetapi hanya meminta ahli lembaga AFC mempertimbangkan usul itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

KEPUTUSAN LIGA PERDANA

Artikel Berikut

Artikel Lain