suria

Vellapan kesal cadangkan Hamman sebagai Presiden AFC

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Peter Velappan hari ini membuat pengakuan terbuka berhubung kekesalan "terbesar" dan kekecewaannya mencadangkan Mohammed Hammam dari Qatar sebagai Presiden AFC pada 2002.

Velappan, yang berkhidmat dengan AFC selama tiga dekad dari 1978 hingga persaraannya pada 2007, berkata selepas Piala Dunia JepunKorea Selatan pada 2002, Hammam yang ketika itu Anggota Jawatankuasa Eksekutif AFC menyatakan hasrat untuk menjadi Presiden AFC.

"Sebelum Kongres AFC, Presiden AFC ketika itu Sultan Ahmad Shah memanggil saya bertanya jika ada sebarang pertanding bagi jawatan presiden. Saya beritahu baginda "Hammam akan mencabar Tuanku".

Sultan Ahmad Shah kemudian berundur bagi memberi peluang kepada Hammam sebagai presiden baru (tanpa bertanding).

"Dari 2002 hingga 2005, Hammam dan saya bersahabat baik. Tetapi, segalanya berubah secara tibatiba apabila Hammam mengekalkan jawatan sebagai Presiden AFC untuk penggal kedua bermula 2006.

"Selepas itu, sudah tiada Hammam yang kami kenali. Sebaliknya AFC mengamalkan cara yang autokratik dan diktator. Saya tak faham sebab perubahan itu. Mungkin, beliau tidak dapat menguruskan kuasa yang AFC berikan kepadanya," kata Velappan.

Velappan kini kembali daripada persaraannya untuk berkempen bagi Sheikh Salman Ebrahim AlKhalifa dari Bahrain, yang akan mencabar Hammam bagi Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) pada Jumaat ini.

Bekas pentadbir bola sepak Malaysia itu berkata beliau terpaksa berbuat demikian selepas beberapa keputusan Hammam yang mengecewakan beberapa persatuan bola sepak kebangsaan.

"Hati saya menangis selepas menghabiskan lebih daripada 30 tahun hidup saya untuk AFC," kata Velappan, yang berpandangan krisis mengejut dalam keluarga bola sepak Asia itu adalah kerana "tamak dan cita-cita".

Beberapa hari lalu, Salman dalam usahanya bertanding kerusi AFC bagi Jawatankuasa Eksekutif FIFA, memberi jaminan bahawa beliau tidak akan memindahkan ibu pejabat AFC, AFC House di Bukit Jalil ke mana-mana jika beliau dipilih.

Hammam sebelum ini pernah berkata beliau akan meletakkan jawatan sebagai Presiden AFC jika tewas pada pemilihan Jumaat ini.

"AFC House perlu kekal di Malaysia. Tiada sebab untuk pindahkan AFC House di Bukit Jalil ke manamana. Lagipun AFC House adalah simbol perpaduan di kalangan anggota (Asia)," kata Velappan.

Pada 2003, kerajaan Malaysia telah menyediakan tanah seluas lima hektar di Bukit Jalil untuk AFC House dan kos pembinaannya adalah AS$5 juta.

Velappan berkata beliau terkejut apabila Hammam mencadangkan untuk memindahkan AFC House ke lokasi lain.

Beliau juga mendedahkan bahawa AFC kini menghadapi krisis kepimpinan dan menyifatkan Hammam sebagai ancaman serius kepada perpaduan, kestabilan dan keharmonian di kalangan 46 anggota kongres.

Jika masalah itu berterusan, beliau berkata ia boleh menyebabkan penggantungan terhadap konfederasi bola sepak kedua terbesar dunia itu oleh FIFA , badan yang mengawal bola sepak dunia, dan mungkin juga membawa kepada perpecahan AFC.

"Jika Kongres AFC Jumaat ini terjadi sesuatu di luar kawalan, akan berlaku perpecahan terutama jika Hammam menggunakan kuasa dan tidak membenarkan sekurangkurangnya lima persatuan untuk mengundi," katanya.

Empat persatuan Laos, Timor Timur, Afghanistan dan Mongolia diberitahu oleh AFC mereka tidak boleh mengundi kerana mereka tidak bertanding dalam sekurang-kurangnya tiga pertandingan peringkat Asia sejak dua tahun lepas.

FIFA bagaimanapun membuat keputusan lain dan menjelaskan bahawa pertandingan bawah 13 dan 14 tahun juga mesti dipertimbangkan.

Kuwait pula dimaklumkan oleh AFC bahawa ia tidak mengiktiraf jawatankuasa sementara yang kini mengendalikan hal bola sepak di negara itu.

FIFA menjelaskan bahawa Persatuan Bolasepak Kuwait diiktiraf FIFA selepas penggantungan terhadapnya berikutan campur tangan politik telah ditarik balik, yang bermakna Kuwait boleh mengundi.

Dalam sidang akhbar lain, Anggota Jawatankuasa Kewangan AFC Richard Lai dari Guam mempersoalkan peruntukan dana AFC yang tidak seimbang, terutama bagi pembangunan bola sepak di akar umbi.

AFC menerima tambahan AS$150 juta daripada AS$92 juta dalam bajet 20052008 kepada AS$242 juta (20092012), yang beliau sifatkan sebagai peningkatan bajet paling besar dalam sejarah AFC, tetapi kesal kerana kebanyakan subsidi adalah untuk kejohanan besar Asia, meninggalkan hanya sejumlah kecil untuk pertandingan peringkat umur. BERNAMA

Artikel Lain