suria

ASUM calon Shahidan tanding jawatan Presiden MOM

Tan Sri Tuanku Imran ibni Almarhum Tuanku Ja'afar. - foto BERNAMA
Tan Sri Tuanku Imran ibni Almarhum Tuanku Ja'afar. - foto BERNAMA
Tan Sri Tuanku Imran ibni Almarhum Tuanku Ja'afar. - foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim akan mencabar Tan Sri Tuanku Imran ibni Almarhum Tuanku Ja'afar untuk jawatan presiden pada pemilihan jawatan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada akhir bulan ini.

Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), yang dipimpin oleh Shahidan, hari ini telah mencalonkannya untuk mencabar Tunku Imran, selaku penyandang, pada pemilihan jawatan 31 Mei ini.

Naib presiden ASUM Oon Kee Seng berkata semua anggota exconya sebulat suara bersetuju memilih Shahidan kerana percaya dengan kebolehan dan kemampuan beliau yang telah banyak membawa perubahan dalam memimpin beberapa persatuan sukan di negara ini.

"Beliau bukan sahaja seorang ahli politik yang baik tetapi juga seorang pemimpin sukan yang berkebolehan dan sanggup menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit sematamata untuk memajukan sukan," katanya kepada pemberita di sini.

Oon berkata ASUM yakin bahawa persatuan sukan lain juga akan mencalonkan nama Shahidan sebagai peneraju baru MOM.

Sementara itu, Shahidan berkata beliau bersedia untuk bertanding bagi merebut kerusi panas MOM itu jika semua persatuan sukan inginkan perubahan dan memberi kerjasama dalam membangunkan sukan negara.

"Saya tidak bermaksud untuk mencabar sesiapa, namum apabila telah diberikan kepercayaan saya akan berusaha untuk melakukan yang terbaik demi menunaikan amanah yang telah diberikan kepada saya," katanya.

Pada pemilihan MOM bagi penggal 2007/2009 yang berlangsung pada Mei 2007, Shahidan muncul calon tunggal yang mencabar jawatan presiden yang disandang oleh Tunku Imran sejak 1999.

Shahidan, yang juga presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Persatuan Kabaddi Malaysia serta Persatuan Bola Sepak Perlis, bagaimanapun menarik diri daripada bertanding beberapa minggu sebelum pemilihan.

Pada pemilihan tersebut, Shahidan dicalonkan untuk bertanding jawatan presiden MOM oleh Persatuan Kriket Malaysia (MCA). BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain