suria

Layar antara sukan berpotensi layak ke SUkan Olimpik 2016

LANGKAWI: Perahu layar antara sukan yang berdaya maju dan berpotensi untuk layak bertanding bagi membawa cabaran Malaysia pada Sukan Olimpik 2016, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong.

Kejayaan yang dicapai pelayar negara pada beberapa kejohanan perahu layar antarabangsa membuktikan peluang untuk ke Olimpik lebih cerah, katanya kepada Bernama selepas menyertai kejohanan sukan badan berkanun seluruh negara mewakili MSN di sini hari ini.

Kejohanan enam hari yang disertai 5,000 atlet dan pegawai dari 58 agensi seluruh negara itu berakhir petang ini.

Zolkples berkata skuad perahu layar negara kini sedang membuat persiapan menghadapi Sukan Asia 2010 di China.

Acara perahu layar sering menyumbang pingat emas kepada Malaysia dengan kali terakhir pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar menerusi Rufina Tan (emas) dan Nurul Elia (gangsa).

Antara kejayaan skuad perahu layar pada tahun ini ialah Kejohanan Remaja Kebangsaan di Singapura, Kejohanan Antarabangsa Perahu Layar di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan kejohanan Antarabangsa Perahu Layar di Doha, Qatar.

Zolkples berharap pelayar Malaysia terdiri sembilan atlet dari skuad elit dan 18 dari pelapis kebangsaan supaya giat menjalani latihan di pusat latihan perahu layar kebangsaan di sini sejak Jun tahun lepas.

Beliau berharap Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) bersiap awal dan menyusun program ke arah Olimpik 2016.

Selain sukan layar, beberapa sukan lain seperti menembak dan gimnastik adalah antara yang akan layak ke Olimpik 2016.

Mengenai cadangan pasukan perahu layar Iran berlatih di Langkawi mulai 10 Mei hingga Julai ini, Zolkples mengalu-alukan pasukan itu berlatih di pusat latihan perahu layar kebangsaan di Langkawi bagi membolehkan pelayar-pelayar Malaysia berlatih bersama dengan pasukan Iran.

Artikel Lain