suria

60 peserta sertai Piala Super Watercross Asia di Terangganu

KUALA TERENGGANU: Seramai 60 peserta dari 14 negara mengesahkan untuk mengambil bahagian pada kejohanan Piala Super Watercross Asia Ke2 Terengganu 2009 di litar pesisir Pantai Batu Burok di sini, 22 Julai depan.

Mereka terdiri daripada peserta Australia, Kuwait, Indonesia, Amerika Syarikat, Korea Selatan, China, New Zealand, Perancis, Filipina, Thailand, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Singapura dan Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib berkata sambutan terhadap kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu menggalakkan berbanding tahun lepas yang hanya menyaksikan penyertaan dari sembilan buah negara.

"Ini menunjukkan Terengganu sudah dikenali sebagai salah satu destinasi sukan air terbaik di dunia," katanya pada majlis pelepasan Terengganu Island Rider 2009, di sini hari ini.

Beliau berkata kejohanan edisi pertama bermula di Batam, Indonesia dari 8 hingga 10 Mei ini, diikuti Pantai Batu Burok (Terengganu), Pattaya (Thailand), Bali (Indonesia) dan berakhir di Hokkaido (Jepun).

Katanya penganjuran kejohanan itu bukan sahaja membantu mempopularkan sukan air di Terengganu malah memperkenal pesisir pantai negeri itu kepada pelancong tempatan dan luar negara.

Mengenai Terengganu Island Rider, Za'abar berkata acara itu diadakan sebagai kejohanan pembuka tirai sebelum berlangsungnya Piala Super Watercross Asia ke2 di sini.

Beliau berkata kejohanan sampingan itu, berjaya menarik penyertaan lebih 20 peserta dari Sarawak, Johor, Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Terengganu.

Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu (MPPR) Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud turut menyertai kejohanan itu, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain