suria

PHM gantikan Beng Hai jika gagal capai sasaran

KUALA LUMPUR: Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) telah mengenal pasti lima jurulatih asing bagi menggantikan jurulatih kebangsaan Tai Beng Hai jika pasukan kebangsaan gagal mencapai sasaran untuk sekurang-kurangnya tempat keempat dalam Kejohanan Hoki Piala Asia di Kuantan pada 9 hingga 16 Mei.

Presiden PHM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata pihaknya tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan dan mengambil sikap tunggu dan lihat ke atas prestasi semasa jurulatih sekarang.

"Kita memang nak cari jurulatih-jurulatih yang bagus sebagai pelan susulan sekiranya pasukan kita gagal di peringkat antarabangsa," katanya selepas penyampaian hadiah Kejohanan Polo Piala Duta FIP Edisi ke-67 di Kelab Polo Diraja Selangor, Ampang dekat sini semalam.

Bagaimanapun, Tengku Abdullah yang juga Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA) berkata pihaknya berpuas hati dengan prestasi semasa Beng Hai yang baru memegang jawatan jurulatih kebangsaan sejak Januari lepas.

"Kita sudah beritahu dia apa sasaran kita tahun ini, kalau dia boleh penuhi sasaran kita saya rasa tak perlulah kita cari jurulatih lain.

"Sebagai seorang jurulatih saya rasa dia lebih faham apa yang patut dilakukan," katanya.

Beng Hai dalam tugasan pertamanya pada kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah mengejutkan pengurusan PHM apabila berjaya membawa skuad negara ke perlawanan akhir, mengatasi sasaran ke separuh akhir yang ditetapkan PHM.

Jurulatih yang dianggap "bidan terjun" itu sebelum ini mengendalikan skuad bawah 20 tahun.

Sementara itu, pasukan Laksamana muncul juara kejohanan polo itu. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek sebagai tetamu kehormat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Sports Digest

Artikel Lain