suria

Bekas jaguh lompat jauh Kamaruddin Maidin meninggal dunia

KUALA TERENGGANU: Bekas atlet lompat jauh negara, Kamaruddin Maidin, 66, yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini bagi penyakit paru-paru kronik sejak sembilan hari lalu, meninggal dunia hari ini.

Anaknya Kamarezuan, 37, berkata, bapanya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1.30 tengah hari dengan semua anggota keluarga berada di sisinya.

"Keluarga kami akan membawa balik jenayah untuk diuruskan di rumah kami di Permint Jaya, Chendering dan jenazah allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di sini selepas waktu asar hari ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Kamaruddin merupakan anak Terengganu pertama mewakili negara ke sukan Olimpik Rome 1960 bersama-sama Dr M. Jegathesan dan Dr. Shaharudin Ali dalam sukan olahraga.

Di zaman kegemilangannya pada tahun 1960-an, Kamaruddin merupakan atlet pertama negara yang memenangi lima pingat emas dalam lima Sukan SEA berturut-turut bermula 1959 dalam acara lompat jauh dan dua pingat emas dalam acara lompat kijang.

Kisah penderitaan allahyarham yang pernah mendapat rawatan untuk penyakit yang sama di Hospital Puteri, Kuala Lumpur pada tahun 2003 turut disiarkan media hari ini.

Sebelum dimasukkan ke HSNZ pada 10 April lalu, allahyarham juga pernah dirawat di Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) sebanyak dua kali awal tahun ini.

Semalam, Mumtaz Jaafar, selaku Pengerusi Yayasan Kebangsaan Atlet Negara dan Presiden Persatuan Olahraga Terengganu (POAT) Datuk Wan Hisham Salleh turut meluangkan masa menziarahi Kamaruddin di HSNZ.

Allahyarham meninggalkan isteri Rajemah Sheikh Ahmad, 65, juga bekas atlet dan pemenang pingat gangsa Sukan Asia 1966 dan enam orang anak lelaki, kesemuanya merupakan bekas atlet olahraga. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

JADUAL PERLAWANAN FA CUP

Artikel Lain