suria

4 atlet kebangsaan tersenarai untuk terima anugerah MASUM

KUALA LUMPUR: Empat atlet kebangsaan adalah antara yang tersenarai untuk menerima Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2009 yang bakal berlangsung di Kuantan pada 4 April ini.

Mereka ialah jaguh lompat bergalah Roslinda Samsu (UPM) dan atlet bola jaring Yap Sou Kuen (UM) yang dicalon bagi merebut Olahragawati MASUM, sementara atlet 110 meter lompat berpagar Robani Hassan dan atlet ragbi Mohd Syahir Asraf Rosli bagi Olahragawan MASUM.

"Calon-calon ini adalah yang terbaik dari setiap universiti yang dibenar menghantar satu penyertaan untuk setiap kategori," kata Pengerusi Jawatankuasa Promosi dan Penajaan MASUM 2009, Nur Ekmal Bukhary.

Atlet silat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Radiah Hassan, atlet hoki dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Fazilla Slyvester Silin dan atlet bola tampar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Wong Sim Yih turut tersenarai di bawah kategori Olahragawati MASUM.

Bagi Olahragawan MASUM, yang turut dicalon ialah atlet bowling dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Zaim Zulfadli, atlet boling padang dari Universiti Malaya (UM), Salehin Abdul Jalil dan atlet ragbi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tengku Mohd Farid Rosli Tengku Roslan.

Kategori lain yang akan dipertandingkan ialah Pasukan Terbaik Lelaki, Pasukan Terbaik wanita, Pengurus Terbaik, Tokoh Pemimpin Sukan MASUM dan Anugerah Sekalung Budi.

Nur Ekmal berkata berkata tiga kategori baru diperkenalkan untuk anugerah tahun ini iaitu Bintang Harapan Lelaki, Bintang Harapan Wanita dan Anugerah Khas Sukan MASUM. BERNAMA

Artikel Lain