suria

Azizulhasni berpeluang tebus kekecewaan acara pecut

KUALA LUMPUR: Jaguh keirin negara Azizulhasni Awang memberi harapan untuk Malaysia meraih sebutir lagi pingat apabila layak ke separuh akhir acara pecut individu pada Kejohanan Trek Dunia di Pruszkow, Poland, pagi tadi.

Azizulhasni melangkah ke pusingan seterusnya selepas mengetepikan pelumba Britain Ross Edger dengan catatan masa 10.871s pada saingan suku akhir.

Jaguh Australia, Shane Perkins menunggu Azizulhasni di separuh akhir yang dijangka berlangsung lewat malam ini setelah mengenepikan pelumba Perancis Mickael Bourgain dengan catatan masa 10.513s.

Perancis pula memastikan satu tempat ke perlawanan akhir apabila dua pelumbanya iaitu Gregory Bauge dan Kevin Sireau bertemu sesama sendiri pada satu lagi saingan separuh akhir.

Azizulhasni yang menjadi pelumba harapan negara pada Sukan Olimpik 2012 di London kini mempunyai peluang cerah untuk menebus kekecewaan setelah gagal dalam acara kegemaran iaitu keirin dengan hanya menduduki tempat ke-11 keseluruhan.

Bagaimanapun, dua lagi pelumba negara tersingkir apabila Mohd Rizal Tisin tewas kepada Azizulhasni pada pusingan pertama manakala Josiah Ng tewas kepada pelumba Britain Matthew Crampton, juga pada pusingan pertama.

Rizal bagaimanapun mencipta sejarah semalam selepas muncul pelumba pertama negara meraih pingat pada kejohanan trek dunia itu.

Beliau merangkul pingat gangsa menerusi acara 1km ujian masa individu lelaki dengan masa 1 minit 01.658s pada perlumbaan empat pusingan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain