suria

Kejutan besar adik-beradik pada Terbuka Brunei

MIRI: Rahmat Borhan dan adiknya Rohizat mungkin belum mencipta nama dalam arena sukan tenis peringkat kebangsaan tetapi bakat mereka yang menyerlah sudah pasti menjadi perhatian apabila menjuarai acara perseorangan pada Kejohanan Remaja Terbuka Brunei, awal bulan ini.

Biarpun tidak memilik pengalaman di peringkat kebangsaan, prestasi dan kualiti permainan Rahmat adalah setanding dengan pemain negara apabila menjuarai acara bawah 15 tahun manakala Rohizat merangkul gelaran kategori bawah 10 tahun.

Jurulatih Zaini Abdul Razak berkata adikberadik itu mempunyai potensi untuk diketengahkan di persada antarabangsa berikutan penampilan julung kali pada kejohanan di Bandar Seri Begawan pada 1 dan 2 Mac lepas.

"Sebelum kejohanan itu, saya hanya mahu mendedahkan mereka kepada pertandingan di luar Malaysia dan Terbuka Brunei merupakan kesempatan terbaik untuk tujuan itu.

"Bagaimanapun, saya tidak menjangka mereka dapat meraih kejayaan pada percubaan sulung mereka," katanya kepada Bernama di sini.

Pada pusingan pertama, Rahmat mengenepikan cabaran pemain Kanada Moises Abreu sebelum menewaskan rakan sepasukan Mohamad Nasir di saingan suku akhir dan menumpaskan Benjamin Tay dari Brunei pada separuh akhir.

Rahmat, seorang pelajar Sekolah Menengah Bantuan St Columba di sini, akhirnya merangkul gelaran selepas menundukkan pemain Venezuela, Carlos Perez, pada perlawanan akhir.

Bagaimanapun, Rohizat menghadapi ujian getir pada perlawanan permbukaan apabila bertemu pemain tinggi lampai dari Nigeria, Alex Stagg, dan berjaya melepasi perlawanan itu dengan mudah sebelum mengejutkan bintang tuan rumah Azmi Zakaria di saingan suku akhir.

Pelajar Sekolah Kebangsaan St Columba itu meneruskan saingan dengan menewaskan Andy Chong dari Miri di separuh akhir sebelum menewaskan Andy Hambali dari Brunei pada perlawanan akhir.

Zaini berkata kedua-dua pemain tersebut akan memburu gelaran pada Kejohanan Terbuka Kota Kinabalu bulan depan.

Menurutnya adik-beradik itu mempunyai masa depan yang cerah dalam sukan itu tetapi masalah kewangan mungkin menyekat mereka daripada menyertai pada sirkit remaja kebangsaan kerana ayah mereka, seorang anggota polis trafik, mungkin tidak mampu membiayai perbelanjaan.

Ayah mereka, Borhan Janang Abdullah, yang memiliki sijil kejurulatihan Persatuan Lawan Tenis Malaysia (LTAM) memberitahu Bernama bahawa beliau ingin melihat anakanaknya menyertai lebih banyak kejohanan selepas persembahan memberangsangkan di Brunei.

"Sebagai ayah, saya tahu potensi yang terpendam dalam diri mereka dan minat untuk menghadapi cabaran baru khususnya pertandingan di luar negara.

"Mereka hanya boleh menggilap bakat dengan menyertai lebih banyak pertandingan. Saya harap anak saya akan menerima sokongan dan bantuan untuk merealisasi impian mereka," katanya.

Katanya kedua-dua anaknya itu menunjukkan kesungguhan dalam sukan tersebut dengan mengikuti program latihan khas untuk pemain yang lebih tua daripada mereka. BERNAMA

Artikel Lain