suria

Hot FM minta pendapat ramai nak pancing Tyzo

Hot FM mendengar suara pendengar yang mahu Tyzo bergelar penyampai stesen radio berkenaan.

SEHARI selepas perkhidmatan Tyzo bersama Suria FM tamat, isu berkenaan menjadi viral sehingga mencetus pelbagai komen pendengar.

Hal ini membuka peluang kepada Hot FM untuk memancing penyampai berkenaan dengan meminta pendapat ramai adakah perlu Tyzo menyertai mereka.

Poster yang ditulis 'Tyzo join Hot FM Korang on tak on?' dikongsi menerusi Instagram rasmi radio itu mendapat reaksi positif orang ramai.

2489438

Tyzo terkejut melihat poster yang dikongsi Hot FM.

"Aku mendengar suaramu. Anda setuju kalau Tyzo sertai Hot FM?

"Komen dan tag Tyzo. Kami nak set waktu lepak dengan Tyzo," begitu yang ditulis menerusi kapsyen di akaun Instagram stesen radio berkenaan.

Poster berkenaan turut berkongsi gambar Tyzo menggenggam trofi Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35) yang dimenangi tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Fahmi Fadzil mahu atur pertemuan jumpa Tyzo

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tyzo sebak umum tiada lagi di Suria FM... Sharifah Shahirah tumpang sedih

Kemenangan tersebut merupakan yang pertama buat Tyzo selepas lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia penyiaran.

Hantaran berkenaan yang dimuat naik sekitar dua jam lalu mendapat lebih 2,200 komen yang rata-rata bersetuju deejay berkenaan menyertai Hot FM.

Tidak kurang juga ramai yang terhibur kerana stesen Hot FM bijak mengambil kesempatan dan bijak mencari peluang.

Saya sedia berbincang dengan mana-mana stesen radio lain

TYZO

PENYAMPAI RADIO

"Tolonglah ambil Tyzo. Pasti Hot FM nombor satu.

"Laju Hot FM buat kerja. Memang setuju Tyzo ke Hot FM.

"Macam pisang panas Tyzo. Ramai nak ambil kerja," komen netizen.

Sementara itu, Tyzo ketika dihubungi memberitahu dia belum menerima sebarang panggilan daripada pihak pengurusan Hot FM berhubung tawaran itu.

tyzo 3

Tyzo sebelum ini mengendalikan segmen Suria Petang bersama Sharifah Shahirah.

Tyzo memberitahu dia terbuka untuk berbincang dengan Hot FM atau mana-mana stesen radio lain yang sudi menawarkan peluang pekerjaan kepadanya.

"Memang terharu Hot FM buat sebegitu. Saya pun tidak tahu apa-apa tentang perkara ini namun setakat ini tiada panggilan dari mereka.

"Bukan sahaja bersama Hot FM, saya sedia berbincang dengan mana-mana stesen radio lain.

"Kalau Era FM dan Sinar FM panggil berbincang pun saya terima. Sekarang ini saya hanya fikir nak car nafkah untuk diri sendiri dan anak," jelasnya.

Pada petang Jumaat, stesen radio Suria FM mengumumkan penamatan kontrak Tyzo dan dia bersiaran buat kali terakhir untuk segmen Suria Petang bersama rakan penyampai Sharifah Shahirah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain