suria

Aishah Azman kongsi video kejadian bapa saudara dilanggar pemandu mabuk, motorsikal diseret 2 km - “Semoga Allah balas apa yang dilakukan pemandu mabuk ini!”

Aishah Azman berkongsi video kes mabuk langgar lari yang melibatkan bapa saudaranya.

PELAKON Aishah Azman berkongsi berita sedih tentang mangsa langgar lari pemandu mabuk yang dilaporkan media pagi Isnin adalah bapa saudaranya iaitu Mohamed Zaili Mohamed.

Aishah, 24, berkata buat masa kini jenazah arwah adik kepada ibunya itu masih di unit forensik dan berkemungkinan akan dikebumikan pada malam ini atau pagi Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi dirempuh pemandu mabuk, mangsa maut selepas hantar makanan dijual isteri

"Ya... pak cik saya iaitu adik kepada ibu meninggal dunia selepas dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu seorang lelaki dalam keadaan mabuk.



Aishah berkongsi berita sedih itu di Instagramnya.

"Jenazah masih dalam unit forensik sebab ada pendarahan di bahagian kepala dan badan. Insya-Allah jenazah arwah akan dikebumikan malam ini atau pagi esok.

"Semua ahli keluarga sekarang ini masih menunggu keputusan dari pihak unit forensik. Setiap keluarga hanya boleh hantar wakil seorang menunggu di hospital," kata Aishah kepada mStar.

Terdahulu pemilik nama Nor Aishah Afika Azman Shah ini berkongsi video yang memperlihatkan motorsikal arwah Mohamed Zaili Mohamed diseret kereta terbabit sejauh dua kilometer di laman Instagramnya pada Isnin.



Aishah berharap pihak berkuasa ambil tindakan berat terhadap pemandu mabuk.

Menerusi laporan mStar, kejadian kira-kira 1.30 pagi di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara itu menyebabkan Mohamed Zaili Mohamed, 44, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Kejadian tersebut berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya, maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu lelaki mabuk.

Ketika dalam perjalanan, motosikal jenis honda EX5 yang ditunggang mangsa secara tiba-tiba telah dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta (MPV) yang dipercayai dipandu oleh lelaki mabuk.

Aku mohon pada pihak yang berkenaan untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal pada pemandu tak bertanggungjawab ini.

AISHAH AZMAN

PELAKON

Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke sebelah kiri bahu jalan, manakala motosikalnya diseret sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Suspek yang berusia 21 tahun itu memberhentikan kenderaannya di bawah jejantas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa berdekatan dengan lokasi kejadian selepas ditahan oleh orang awam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.



Keadaan motorsikal mangsa diseret sejauh dua kilometer.

Dalam pada itu, menerusi Instastory Aishah berharap pihak berkuasa menjatuhkan hukuman yang setimpalnya terhadap pemandu tidak bertanggungjawab tersebut.

"Aku mohon pada pihak yang berkenaan untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal pada pemandu tak bertanggungjawab ini. Moga Allah membalas segala apa yang dilakukan pemandu mabuk ini," tulisnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain