suria

Haziq Rosebi Timang Cahaya Mata Sulung Pagi Aidiladha

Haziq dan isterinya,Maisarah menimang cahaya mata lelaki pada pagi Hari Raya Aidiladha.

PETALING JAYA: Isteri kepada penyanyi Haziq Rosebi iaitu Maisarah Mohd Sidki selamat melahirkan bayi lelaki pada pukul 12.49 pagi, Isnin.

Haziq yang juga peserta program Akademi Fantasia musim keempat (AF4) menerusi Instagram miliknya memaklumkan bayi seberat 2.87 kilogram itu dilahirkan lebih awal daripada jangkaan iaitu 23 September ini.

"Welcome to the world my son...Tidak dijangka hendak keluar awal, sepatutnya 23 haribulan ini.

"Tetapi ini perancangan Allah yang tiada siapa tahu," katanya.

Dalam pada itu, Haziq turut melahirkan rasa syukur bayi pertamanya itu dilahirkan pada Hari Raya Aidiladha dan menganggap ia sebagai hadiah buat mereka suami-isteri.

Bayi pertama pasangan itu yang dilahirkan pada pukul 12.49 pagi Isnin.

"Alhamdulillah ngam-ngam (cukup-cukup) raya Aidiladha dia dilahirkan pada pukul 12.49 pagi tadi.

"Mukanya ikut ibunya buat masa ini, syukur kepada Allah atas anugerah tidak ternilai ini," katanya lagi.

Sementara itu, Haziq berkata, dia masih belum memikirkan nama sesuai untuk anak lelakinya itu namun memberitahu nama itu nanti bakal berkaitan dengan sambutan Aidiladha.

"Nama kena diperbetulkan kembali sebab alang-alang Hari Raya Aidiladha nama kena ada berkait sikit," katanya.

Haziq dan Maisarah berkahwin pada September tahun lalu.

Haziq Rosebi

Artikel Sebelum

Artikel Lain