suria

Janji Ameng - "Saya Insaf, Tidak Akan Ulang Kesilapan Lalu"



PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Spring iaitu Ameng akan pulang ke kampung halamannya di Terengganu untuk meminta restu daripada Ibu-bapanya sebelum memulakan semula kehidupan baharu selepas dibebaskan dari penjara.

Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 47, berkata, dia terlebih dahulu akan pulang ke kampung mertuanya di Melaka untuk menyambut Ramadan sebelum pulang ke Terengganu.

"Dulu saya ke Kuala Lumpur tidak mendapat restu keluarga. Mungkin itu juga punca saya jadi begini. Kali ini saya ingin tebus semula apa yang sudah saya lakukan kepada mereka," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Selasa.

SILA KLIK: Isteri Sebak Ameng Akhirnya Bebas Dari Penjara

Dia dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan 10 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 kerana kesalahan penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun hukuman itu dipendekkan atas disiplin dan contoh terbaik yang ditunjukkannya.

Selain itu Ameng berkata, dia menganggap pembebasan ini adalah sebagai peluang terakhir yang diberikan kepadanya untuk membetulkan jalan hidup.

"Saya insaf dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan lalu dan bagi saya ini adalah peluang kedua dan terakhir yang Allah berikan supaya saya sedar dan mengubah jalan hidup.

"Saya tidak mahu sia-siakan apa yang saya akan lalui selepas ini terutamanya terhadap keluarga dan anak-anak," ujarnya.

Selain itu, Ameng berkata, dia mempunyai 30 buah lagu yang digubah ketika berada di dalam penjara.

Ameng dibebaskan pada pukul 12.30 tengah hari di penjara Kluang pada Selasa.

Katanya, dia berhasrat untuk merakamkan lagu-lagu itu bersama tiga orang anaknya (termasuk anak perkahwinan terdahulu).

"Sepanjang dalam penjara saya ada buat 30 buah lagu dan tiga buah lagu sesuai dengan anak-anak saya.

"Saya berhasrat untuk rakamkan bersama anak-anak jika ada pihak yang sudi menaja kos penerbitannya," ujar Ameng.

Sementara itu, Ameng bersyukur, jadual untuk memenuhi undangan persembahan sudah penuh sehingga penghujung tahun ini.

"Insya-Allah konsert Tiga Suara juga akan berlangsung pada bulan September ini bersama rakan-rakan artis lain," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya apakah perkara paling dirindui, Ameng berkata, selain keluarga dia juga rindu untuk membuat persembahan pentas, berpakaian seperti orang biasa dan menikmati makanan yang disukai.

Pembebasan Ameng disambut isterinya, Sabariah Zakaria, 46, dan anak mereka, Wan Amar Haikal, 9, yang menanti di hadapan pintu Penjara Kluang.
Ameng Spring

Artikel Lain