suria

Emma Maembong Mahu Kurang Berlakon Disamping Kamal Adli

Emma dan Kamal sering digandingkan menerusi drama lakonan mereka.

PETALING JAYA: Pelakon Emma Maembong ingin mengurangkan kemunculan bersama teman lelakinya aktor, Kamal Adli menerusi drama lakonan mereka kerana bimbang peminat berasa bosan.

Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 24, berkata, sebelum ini mereka banyak digandingkan bersama atas permintaan stesen televisyen dan menganggap ia sudah mencukupi.

"Saya secara jujurnya tidak kisah pun jika diminta bergandingan dengan Kamal tetapi lama-kelamaan saya bimbang juga ia akan membuatkan penonton berasa bosan.

"Rasanya selepas ini saya kena kurangkan muncul dengan Kamal di televisyen," katanya kepada mStar Online.

Emma berkata demikian ketika ditemui pada majlis rakaman program Melodi Raya di Hotel Royale Chulan, Damansara di sini, Jumaat.

Dalam pada itu, Emma berkata, dia sentiasa terbuka untuk digandingkan dengan mana-mana pelakon lelaki sama ada menerusi drama atau pun filem asalkan ia bersesuaian dengan watak diberikan.

Malah katanya, dia kebiasaannya menyerahkan perkara itu kepada pihak produksi kerana mereka lebih arif dalam menentukan siapa pasangannya bagi menjayakan sesuatu projek.

"Siapa sahaja hero yang diberikan saya terima sahaja kerana ia telah diputuskan oleh pihak produksi.

"Paling penting kami sama-sama dapat menjayakan watak diberikan dengan baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Emma berkata, tahun ini dia hanya akan bercuti hari raya selama seminggu sebelum kembali sibuk dengan karier seninya.

Emma Maembong, Kamal Adli

Artikel Lain