suria

Sherry Alhadad, Zulin Aziz Jual Barang Peribadi Untuk Mangsa Banjir

Sherry dan Zulin ingin membantu mangsa banjir.

PETALING JAYA:  Pengacara Sherry Alhadad dan Zulin Aziz menjual beberapa barangan terpakai milik mereka bagi mendapatkan sejumlah wang untuk disalurkan kepada mangsa banjir yang melanda negeri di Pantai Timur.

Sherry, 30, berkata, lebih 10 barangan termasuk pakaian, kasut dan perhiasan diri sudah terjual melalui laman Instagram milik mereka sejak malam Khamis.

"Kami mula terfikir sejak Rabu lalu bagaimana cara untuk bantu mangsa banjir secara tidak langsung menggalakkan orang ramai untuk turut membantu bersama.

"Kami fikir untuk jual semula baju-baju kami yang masih dalam keadaan baik kepada peminat-peminat yang ingin bersama-sama menghulurkan bantuan," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Jumaat.

Tambah Sherry, keseluruhan hasil penjualan barangan tersebut akan disalurkan kepada mangsa banjir sama ada dalam bentuk barang keperluan ataupun wang tunai.

Sherry menjual barangan peribadinya menerusi Instagram.

Dia turut bersimpati terhadap beberapa ahli keluarganya yang berada di Kuala Terengganu kerana berhadapan dengan situasi tersebut.

"Saya tidak pernah melalui pengalaman seperti mereka lalui, namun melihat daripada berita dan gambar yang tersebar melalui media sosial sangat menginsafkan sehingga membuat kami benar-benar ingin menolong yang termampu.

"Abang saya yang tinggal di Kuala Terengganu sedang berhadapan dengan bancana alam ini," ujarnya.

Sementara itu, Zulin, 25, berkata, aktiviti tersebut bukan untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya, adalah salah satu cara bagi mereka memberi bantuan kepada mangsa banjir.

"Ada orang yang menderma melalui tabung-tabung yang disediakan, ini merupakan salah satu cara dan saluran kami sebagai artis untuk beri banduan.

"Kebanyakan baju yang dijual ini adalah masih baik dan digunakan semasa mengacarakan Melodi dan majlis hiburan. Peminat yang mahukan baju ini bukan sahaja dapat menyimpannya, malah mereka juga secara tidka langsung menderma," katanya.

Tambah Zulin, dia dan Sherry masih dalam proses mencari semula barang-barang yang boleh dijual kepada peminat dalam usaha mereka memberi bantuan kepada mangsa secepat mungkin.

 Katanya, aktiviti yang dilakukan itu kini turut mendapat perhatian beberapa artis dan kawan-kawan terdekat untuk turut sama menjual barang peribadi mereka.

Sherry Alhadad, Zulin Aziz

Artikel Lain