suria

'Jangan Tuduh Hip-Hop Karya Ciplak' - Altimet

Altimet
Altimet
Altimet

PETALING JAYA: Penyanyi rap dan komposer, Altimet mengakui kesal dengan tanggapan negatif segelintir pihak yang sering mendakwa genre lagu hip-hop adalah sebuah karya yang menciplak lagu lain.

Altimet atau nama sebenar Ahmad Abdul Rahman, 35, berkata, ia bukan ciplak namun mengambil lagu sedia ada dengan menjadikannya sebuah lagu baru.

"Bagi yang kata ia ciplak sebenarnya mereka tidak tahu genre hip-hop. Ia bukan ciplak tetapi sebaliknya 'sampling' iaitu mengambil lagu yang sedia ada dan memberi nafas baru kepada lagu tersebut.

"Ia memang perkembangan hip-hop sejak daripada dulu lagi, yang mana kita akan memaksimumkan harta intelek sesebuah lagu yang sedia ada," katanya kepada mStar Online.

Altimet berkata demikian ketika diminta mengulas tentang lagu-lagu genre tersebut yang sering dipertikaikan keasliannya.

Terbaharu, lagu Botingkek nyanyian Waris didakwa menciplak sebuah lagu berjudul Racks dan dikeluarkan daripada senarai akhir Anugerah Industri Muzik 2013.

Tambahnya, masyarakat tidak seharusnya memandang ia daripada sudut negatif semata-mata, sebaliknya banyak perkara positif di sebalik lagu-lagu tersebut.

"Saya banyak ‘sampling’ lagu contohnya lagu P.Ramlee berjudul Maafkan Kami dan Syukur nyanyian Sudirman. Saya buat semula dan barukan semula lagu tersebut.

"Tapi orang tidak tahu royalti lagu tersebut saya salurkan semuanya kepada waris mereka," katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, apa yang penting ialah menghormati karya orang lain agar tidak melanggar sebarang undang-undang hak cipta sesebuah lagu.

"Setiap lagu ada hak cipta dan ia perlu dihormati, sebelum kita melakukan sesuatu terhadap karya orang lain, kita perlu jelaskan perjanjian antara kedua-dua pihak agar tidak timbul salah faham di kemudian hari," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain