suria

Dafi Ambil Peluang Lepaskan Rindu Pada Keluarga

Dafi
Dafi
Dafi

PETALING JAYA: Kesibukan penyanyi Dafi yang terpaksa meminggirkan keluarga kerana melebarkan sayap seninya ke negara Indonesia menjadikan Aidilfitri yang disambut pada tahun ini amat bermakna.

Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri berkata, percutiannya selama seminggu di tanah air membuatkan dia mahu memanfaatkan detik itu sebaik mungkin agar dapat melepaskan rindu terhadap keluarganya.

"Ini pun tinggal lagi beberapa hari sahaja lagi sebelum saya berangkat ke Jakarta pada Sabtu ini.

"Barulah saya faham erti orang yang hidup di perantauan. Saya dapat merasainya. Setiap detik bersama keluarga amat bernilai kerana apabila pulang ke negara tempat kita bekerja perasaan sunyi dan rindu mula terasa.

"Bagaimanapun, seperti tahun-tahun yang terdahulu, setiap kali raya saya dan keluarga pasti akan ada baju raya sedondon. Kali ini kami sekeluarga pilih warna ungu. Memang sudah jadi tradisi keluarga saya untuk pakai baju warna sedondon di pagi raya," jelas Dafi.

Sementara itu, sambutan Aidilfitri Dafi turut diiringi dengan sebuah single lagu Hari Raya berjudul Nikmat Lebaran terbitan syarikat pengurusannya sendiri iaitu Laugh of Loud Entertainment Sdn Bhd.

Beritahu penyanyi yang popular dengan lagu Bila Terasa Rindu ini, Nikmat Lebaran digubah oleh Datuk Shuhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah berkonsepkan Etnik Kreatif.

"Sudah lama saya mahu melakukan kolaborasi dengan Pak Ngah kerana saya sukakan sentuhannya dalam irama tradisional.

"Ia bukan hanya sekadar muzik tradisional semata-mata tetapi elemen rancak dan klasik turut disuntik pada lagu tersebut," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dafi juga dalam perancangan untuk melahirkan album terbaru pada hujung tahun ini berkonsepkan pop.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain