suria

TPM Puji Pementasan 'Upin & Ipin'

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memuji teater Upin & Ipin The Musical yang disifatkannya bersesuaian untuk tontonan kanak-kanak.

Muhyiddin berkata pementasan berkenaan adalah medium perhubungan yang baik dalam mendidik kanak-kanak mengenai bahasa Malaysia dan sosio-budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Kita sedia maklum Upin dan Ipin adalah animasi yang popular dan digemari ramai. Sebelum ini kita hanya melihat ia dalam bentuk animasi.

"Usaha membawanya ke pentas teater ternyata bagus dan realistik. Ia adalah medium yang baik untuk mendidik kanak-kanak," katanya kepada mStar Online.

Beliau ditemui selepas menyaksikan pementasan malam ke-12 yang bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini, malam Khamis.

Turut hadir adalah isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Datin Paduka Siti Sa'diah Sheikh Bakir.

Muhyiddin berkata kualiti pada kandungan dan persembahan teater itu adalah permulaan yang baik untuk perkembangan jenama tersebut ke peringkat lebih jauh.

"Saya terhibur dengan persembahan teater ini. Cucu-cucu saya yang lebih dekat dengan watak-watak Upin & Ipin juga terhibur.

"Ia adalah permulaan yang baik untuk perkembangan jenama ini ke peringkat lebih jauh," katanya.

Muzikal arahan Zaifri Husin itu mencatat rekod sebagai pementasan paling lama dipentaskan dalam sejarah Istana Budaya iaitu sebanyak 30 persembahan sepanjang 23 hari.

Ia diterbitkan Les' Copaque Production Sdn Bhd dengan kerjasama CTRA Production.

KPJ Healthcare Berhad bertindak sebagai penaja utama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain