suria

Sajian Menarik Di TV3 Sempena Maulidur Rasul

Lakonan mantap Rahum Razali dalam Runtuhnya Sebuah Dosa.
Lakonan mantap Rahum Razali dalam Runtuhnya Sebuah Dosa.
Lakonan mantap Rahum Razali dalam Runtuhnya Sebuah Dosa.

PETALING JAYA: Sempena menyambut Maulidur Rasul pada Ahad ini, TV3 bakal menyajikan pelbagai rancangan menarik buat santapan para penonton.

Bertemakan 'Menghayati Perjuangan Rasulullah S.A.W', stesen televisyen itu bakal menyajikan pelbagai drama hebat iaitu Al-Ikhlas, Kasut, Runtuhnya Sebuah Dosa dan Telekung Buat Mama yang membariskan pelakon-pelakon tersohor tanah air antaranya Lisdawati, Nasir Bilal Khan, Fauziah Nawi, Noorkhiriah dan Tiz Zaqyah.

Tambah menarik, TV3 turut menyediakan sebuah program animasi khas berjudul Saladin yang menampilkan Fahrin Ahmad dan Farahdhiya sebagai suara latar.

Selain itu, saluran tersebut juga turut mempersembahkan sebuah rancangan berjudul Diet Rasulullah iaitu dokumentari berbentuk majalah dengan informasi berguna buat penonton mengenai amalan pemakanan Rasulullah.

Berikut disertakan program menarik sepanjang sambutan Maulidur Rasul 1433 Hijrah bermula 4 Februari 2012.

1. Al–Ikhlas (4 Februari, 10 malam)

Sinopsis: Al-Ikhlas mengisahkan tentang Solah, seorang yang sangat lurus dan baik hati. Keadaan Solah menyebabkan orang kampung sering mengambil kesempatan terhadapnya. Namun, bagi Solah dia hanya menjalan tugas dengan ikhlas.

Solah pernah berkahwin namun sejak isterinya meninggal dia tinggal berseorangan ditemani kucing-kucing kesayangannya.

Dia juga sering berkunjung ke surau lama di kampungnya untuk beribadat. Surau tersebut terletak di atas tanah yang telah diwakafkan oleh ayah Zaki, namun apabila ayahnya meninggal dunia, Zaki ingin menjual tanah tersebut.

Zaki juga pernah cuba untuk membakar surau tersebut tetapi menghentikan hasratnya apabila mendapati Solah sedang beribadat di dalamnya.

Pelakon: Lisdawati, Nasir Bilal Khan, Fauziah Nawi, Shoffi Jikan, Wan Suhaimi.

2. Kasut (5 Februari, 10.30 pagi)

Sinopsis: Yaya (12 tahun) menerima bantuan persekolahan berbentuk pakaian dan kasut sekolah sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dua minggu sebelum cuti akhir tahun.

Malangnya, bungkusan tersebut terjatuh dalam sungai ketika basikal yang ditunggang bersama adiknya, Din (10 tahun) tergelincir di jambatan.

Yaya dan Din tidak berani memberitahu nenek mereka, Opah Hajar kerana bimbang dimarahi. Opah Hajar memang mengharapkan bantuan tersebut memandangkan hidup mereka terbeban dengan hutang yang ditinggalkan oleh arwah ayah mereka.

Dia dan Din berikhtiar untuk menggantikannya dengan wang saku. Yaya menjadi lemah kerana tidak cukup makan. Din juga mengambil upah mengisi kuih semasa cuti sekolah.

Namun, pelbagai insiden terjadi menyebabkan hajat Din untuk menggantikan kasut yang sudah rosak tidak kesampaian. Yaya cuba menampal kasut lamanya.

Pelakon: Erryne Eryana, Fimie Don, Fauziah Nawi, Noorkhiriah dan Mubarak Majid.

3. Runtuhnya Sebuah Dosa (5 Februari, 10 malam)

Sinopsis: Tragedi tanah runtuh telah menjadi titik baru di dalam kehidupan dua keluarga yang menjalani kehidupan yang berbeza. Shahdan mengahwini Manisa dan mempunyai dua anak iaitu Emelda dan Daniel.

Mereka menjalani kehidupan yang sosial manakala Mansur berkahwin dengan Cempaka dan dikurniakan dua anak iaitu Rashidi dan Amira.

Cempaka begitu tabah menghadapi kematian Mansur akibat tragedi itu namun Manisa tidak dapat menghadapi kematian Shahdan.

Setelah terjaga dari koma, Emelda menginsafi segala perbuatannya dan dia mula rapat dengan Rashidi yang membantunya ke jalan yang benar.

Namun Danial tidak dapat menerima perubahan dalam diri Emelda tetapi segalanya berubah setelah dia mendapat bayangan arwah bapanya.

Pelakon: Tiz Zaqyah, Puteri Fatin, Beto Kusyairy, Remy Ishak, Aziz Singah, Azizah Mahzan, Rahim Razali, Liza Zain.

4. Istimewa Saladin (6 Februari, 10 pagi)

Sinopsis: Saladin atau dikenali sebagai Salahuddin Al-Ayyubi, komander perang Kurdish pada abad ke-12 merupakan pengasas Dinasti Ayyubi bangsa Kurdis di Mesir dan Syria.

Selain di Barat, Saladin juga terkenal di kalangan Nasrani dan Muslim dengan kebolehannya sebagai pemimpin dan ketangkasannya dalam peperangan yang disertai juga dengan sifat kekesateriaan dan belas kasihannya semasa Perang Salib.

Pelakon: Fahrin Ahmad, Faradhiya.

5. Diet Rasulullah (6 Februari, 6.00 petang)

Sinopsis: Program Diet Rasulullah S.A.W. menyampaikan secebis maklumat kepada penonton mengenai amalan pemakanan Baginda.

Ia disampaikan secara santai oleh Ustaz Nor Hisham Al-Idrus dan sahabatnya, Cikgu Suhaimi Mamat kepada tiga anak-anak yang sedang meningkat remaja.

Turut serta membimbing perbualan bermaklumat ini, Haji Ahmad Noor Sulaiman. Tanpa kita sedari rutin pemakanan seharian kita banyak mengundang penyakit kerana tidak mengikut amalan yang dipraktikkan oleh Baginda nabi.

6. Telekung Buat Mama (6 Februari, 9.00 malam)

Sinopsis: Telekung Buat Mama mengisahkan tentang Athirah yang dibesarkan oleh neneknya setelah ibu bapanya bercerai.

Ibu Athirah, Jamie sudah 8 tahun tidak pulang ke kampung. Suatu hari, Jamie dikejutkan dengan berita pemergian ibunya. Kepulangan Jamie disambut oleh Athirah.

Jamie membawa Athirah tinggal bersamanya di bandar. Athirah terkejut melihat cara hidup ibunya yang sering bersosial dan tidak pernah mengerjakan solat.

Pada majlis ulang tahunnya, Jamie menyuruh Athirah memakai gaun yang mendedahkan aurat. Tetapi, Athirah hanya tampil ringkas, berseluar panjang dan bertudung.

Malah, Jamie terkejut dengan hadiah pemberian Athirah iaitu sehelai telekung putih.

Athirah beredar selepas tidak sanggup untuk berada di majlis tersebut. Athirah tergamam apabila melihat ibunya dilanggar kereta di hadapannya.

Pelakon: Erin Malek, Faradhiya, Fahrin Ahmad, Marissa Yasmin, Khatijah Tan, Kismah Johar.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain