suria

'Man Sewel Datang KL' Bukan Ditiru

Datuk Razali Ibrahim menyempurnakan majlis pelancaran filem Man Sewel Datang KL
Datuk Razali Ibrahim menyempurnakan majlis pelancaran filem Man Sewel Datang KL
Datuk Razali Ibrahim menyempurnakan majlis pelancaran filem Man Sewel Datang KL

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Man Sewel Datang KL, Abdul Rahman Adam menolak dakwaan bahawa filem tersebut terikut-ikut dengan drama komedi seperti Halimah Jongang dan Fatimah Juling terbitan Ai.Aida Production sebelum ini.

Jelas Abdul Rahman, filem itu mempunyai identiti tersendiri berdasarkan kehendak dan trend penonton yang lebih menyukai komedi ringan.

“Kami mempunyai identiti tersendiri dan bukan kerana terikut-ikut drama komedi seperti Halimah Jongang atau Fatimah Juling.

“Ketika diberi tanggungjawab menulis skrip dan mengarah filem, saya telah mengkaji trend penonton sekarang yang mahukan filem genre komedi dan ringan,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran filem Man Sewel Datang KL, di dataran Finas, di sini Selasa.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia & Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

Tambah Rahman, senario penonton kini lebih gemar filem yang tidak perlu berfikir dan dekat dengan kehidupan realiti mereka.

“Daripada kajian yang saya lakukan 80 peratus penonton suka hiburan yang mudah dan ringan ditambah dengan filem-filem yang sekarang ini mendapat sambutan seperti Hantu Kak Limah Balik Rumah,” katanya.

Justeru, filem Man Sewel Datang KL juga menyelitkan mesej-mesej pengajaran yang kebanyakannya dilalui oleh golongan muda yang berhijrah ke Kuala Lumpur bagi mencari rezeki.

Filem terbitan Work Move Production Sdn Bhd ini telah melakukan penggambaran pada 13 Mac hingga 5 April lalu sekitar Lembah Klang dengan kos sebanyak RM1.3 juta.

Filem ini mengisahkan seorang pemuda bernama Osman yang datang ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.

Namun begitu pelbagai rintangan yang ditempuhinya sehingga akhirnya menyebabkan dia mengambil keputusan untuk balik ke kampung halaman.

Antara barisan artis yang membintangi filem ini ialah Shuib Sepah, Siti Sarah Raisuddin, Julia Ziegler, Razali Hussain, Rosnah Mat Aris, Zaibo dan Fida Ibrahim.

Artikel Berikut

Artikel Lain