suria

Nadia AF6 belajar dari kesilapan lalu

PRINSIP hidup penyanyi Nadia AF6 ini ialah tidak pernah lari daripada melakukan sesuatu kerja dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh demi meraih kejayaan dalam industri nyanyian.

Nadia mula dikenali sejak menyertai dan mendapat tempat kelima dalam program realiti Akademi Fantasia (AF) musim keenam.

Baginya, pergilah sejauh mana pun, dalam menjaga tingkah lakunya, pemilik nama sebenar Nadia Haswani Hasnan cuba ‘menjadi’ dirinya sendiri.

Bagaimanapun, kata Nadia, sukar untuk membuat orang lain menyukai dan mengikut rentaknya kerana sekali-sekala dia perlu juga mengambil kira pendapat orang lain seperti peminatnya yang ditubuhkan melalui Nadia Fan Club (FC).

Nadia akui setelah mencapai tahap ‘dikenali’ selepas bergelar artis sejak dua tahun lalu, ada orang yang dengki atau tidak berpuas hati dengannya.

“Saya tidak sempurna. Dalam pengurusan saya melalui syarikat saya, Nadia Cribs Entertainment Sdn. Bhd. pun ada membuat kesilapan seperti susunan jadual yang tidak betul dan sebagainya.

“Tetapi saya tak ambil semua ini sebagai penghalang sebaliknya sebagai pembakar semangat dengan sokongan syarikat dan keluarga.

“Peminat saya ibarat satu putaran ‘kitar semula’ kerana dikalangan mereka akan ada yang hilang jika saya berdiam diri.

“Kalau saya kembali dalam karier seni ini, mereka akan sentiasa berada bersama dengan saya. Jadi, itu yang saya belajar selama bergelar artis ini,” ujarnya yang turut menceburi dunia lakonan, pengacaraan dan penulisan skrip serta lirik.

Sepanjang dua tahun ini, Nadia telah bergelar ikon untuk seni budaya Rakan Muda dan dari situ dia menjadi jurucakap atau pengacara dalam mengendalikan program yang dianjurkan oleh kelab itu. Dia juga menulis skrip sendiri untuk mengacara program itu.

Selain itu, Nadia telah menulis lirik untuk single keempatnya, ‘Kita Sama’.

Penyanyi yang pernah digosip bercinta dengan penyanyi Riz AF6 ini juga telah berlakon sitkom ‘Angguk-Angguk, Geleng-Geleng’ untuk RTM yang akan memasuki pengambaran musim ketiga pada Disember depan.

Selain itu, nyanyian bukan sahaja telah membawa penyanyi lagu ‘Kalut’, ‘Histeria’ dan ‘Dia, Aku dan Kamu’ ini ke luar negara, malah dia juga berpeluang berduet dengan band Indonesia, Red Peanut.

Paling boleh dibanggakan, Nadia yang telah menubuhkan syarikatnya sendiri, Nadia Cribs Entertainment Sdn. Bhd. sejak Julai 2008 ini pernah membuat persembahan di hadapan diplomat dan masyarakat tempatan di Amsterdam, Belanda pada 8 Disember 2008.

Tahun ini, buat kali keduanya Nadia akan terbang ke sana lagi untuk membuat persembahan pada 9 hingga 17 November ini.

“Ini merupakan penghargaan dan peluang yang besar untuk saya. Alhamdulillah, persembahan saya pada tahun lalu mendapat penerimaan yang positif oleh pihak Kedutaan Besar Amsterdam.

“Selama beberapa hari di sana, saya akan berjalan-jalan, praktis nyanyian dan mengambil gambar di London untuk koleksi peribadi.

“Saya juga akan merakamkan percutian ini sebelum dan semasa membuat persembahan ketika berada bersama ibu dan salah seorang krew fan club saya.

“Selepas itu saya akan letakkan gambar dan rakaman video itu di dalam laman blog saya di www.nadia-haswani.com.my/blog sekadar untuk berkongsi pengalaman dengan peminat,” ceritanya mengenai aktiviti yang segalanya mendapat tanggungan kedutaan itu.

Belum masa untuk pakai kasut tumit tinggi

Setiap gadis pasti inginkan gaya yang menarik dan feminin namun Nadia memikirkan masa untuk bergaya sakan dengan memakai kasut tinggi belum tiba lagi.

Sesuai dengan usianya yang baru mencecah 19 tahun, Nadia selesa bergaya ala-ala ‘happy go lucky’ dengan mengenakan ‘sneakers’, seluar tiga suku, baju t dan ‘vest’.

“Saya rasa belum masanya untuk pakai ‘high heels’ dan bergaya seperti ‘ladies’ tetapi suatu hari nanti saya akan ke situ juga. Sekarang ‘gila-gila’ dulu.

“Saya tak nak hipokrit kerana saya memang selesa seperti ini walau ke mana sekalipun tetapi apabila ada ‘show’, saya perlu juga sesuaikan dengan majlis..,” beritahunya sambil tersenyum manis.

Artikel Sebelum

Rina pintas kembar, Rini AF7

Artikel Berikut

Amber sedih diperdaya rakan

Artikel Lain