suria

Siti sasar Lantera Timur terjual 100 ribu unit?

Album Lantera Timur nyanyian Datuk Siti Nurhaliza bakal berada di pasaran mulai 26 Disember ini. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Album Lantera Timur nyanyian Datuk Siti Nurhaliza bakal berada di pasaran mulai 26 Disember ini. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Album Lantera Timur nyanyian Datuk Siti Nurhaliza bakal berada di pasaran mulai 26 Disember ini. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

SETAHUN selepas album terakhir Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Hadiah Daripada Hati berada dipasaran, kini album terbarunya Lantera Timur mula bakal menembusi pasaran tempatan pada 26 Disember ini.

Menurut Siti, Lantera Timur bermaksud ‘cahaya timur’ di mana ia dipilih oleh kakak ipar Siti, Rozi Abd. Razak.

“Begitu juga yang saya harapkan supaya album ini memberi cahaya yang baru untuk saya sama-sama mewarnai industri muzik tempatan.

“Cinta saya terhadap muzik memang mendalam dari dahulu hingga sekarang. Jadi, saya menyeru kepada semua peminat muzik agar sentiasa memberi sokongan kepada muzik tempatan.

“Saya juga menjadi bersemangat apabila ramai peminat yang tak sabar-sabar menantikan kemunculan album baru ini.

“Jika ada peminat yang sudah mensasarkan jualan album saya akan mencapai 100,000 unit, Alhamdulillah. Itu merupakan petanda yang positif dan diharapkan begitulah.

“Namun, saya masih memberi kebebasan kepada peminat untuk memilih sama ada mereka menyukai lagu-lagu di dalam album ini atau tidak,” kata Siti.

Jelasnya, semua lagu di dalam album tersebut tampil dengan karektor muzik tersendiri.

Dalam pada itu, Siti turut menceritakan saat-saat dia mengetahui tentang kejadian tanah runtuh di kediaman mewah yang terletak di kawasan Bukit Antarabangsa.

Tutur isteri kepada Datuk Khalid Mohd. Jiwa ini, dia dan suaminya agak bernasib baik apabila rumahnya yang berada agak jauh sedikit dari kawasan kejadian tidak terjejas.

“Alhamdulillah, kami selamat kerana rumah kami agak jauh dari kawasan tanah runtuh itu dan ia tidak terjejas.

“Tetapi, suami saya tetap risau jika insiden tersebut akan berlaku lagi. Jadi, kami ingat nak panggil pakar geologi untuk melihat sama ada keadaan tanah rumah kami selamat atau tidak.

“Walaupun ramai pihak termasuk polis menyeru semua penduduk di situ berpindah, tetapi bukan mudah untuk kami berpindah.

“Tetapi, jika keadaan di situ tidak selamat lagi, mungkin kami akan mengambil tindakan sedemikian juga,” beritahu pelantun lagu Ku Mahu ini.

Cerita Siti lagi, walaupun rumahnya tidak terlibat, namun dia masih bersimpati dengan penduduk yang terlibat termasuk saudara terdekat suaminya, Hassan Saad yang merupakan salah seorang mangsa banglo runtuh dalam kejadian tersebut.

“Waktu kejadian itu, saya dan suami dikejutkan dengan panggilan telefon oleh saudara Datuk K (Hassan) kira-kira pukul 3 pagi dengan nada suara yang terketar-ketar.

“Rumahnya merupakan rumah terakhir yang tidak ranap. Selepas itu, kami terus ke tempat kejadian dan terkejut melihat tanah menggelongsor dari atas ke bawah dan menimbus banyak rumah,” ujar Siti mewakili suami dan rakan-rakan suaminya yang sudi menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa tanah runtuh tersebut.

Tahun 2008 agak ‘slow'

Memandangkan tahun 2008 sudah menghampiri penghujungnya, Siti menggambarkan tahun ini sebagai tahun yang agak ‘slow’ dari segi karier seninya.

“Tahun ini, karier seni saya agak ‘slow’ sebab saya baru balik mengerjakan Haji dan selepas itu banyak merehatkan dan membesarkan badan.

“Jadi, pada tahun 2009, saya ingin lebih aktif dan ingin keluar dengan album baru yang menarik. Saya harap, album Lantera Timur ini akan memberi cahaya kepada karier seni saya pada masa akan datang,” akhiri Siti yang menyambut Hari Raya Aidiladha lalu di kampung suaminya di Kedah memandangkan dia baru kehilangan ayah mertua.

Selain itu, keluarga suaminya turut mengadakan aktiviti korban yang biasanya menjadi kemestian ketika umat Islam menyambut perayaan tersebut.

Artikel Lain