suria

Sehati Berdansa AshedShima hanya mampu bertahan seminggu

PROGRAM realiti tarian yang melibatkan selebriti dan pasangan masing-masing, Sehati Berdansa musim kedua baru saja memulakan episod pertamanya Sabtu lalu, namun cukup malang buat pasangan Mohd Ashid Ahmad atau Ashed dan isteri Sharifah Noor Shima Syed Masnu atau Shima yang menjadi 'mangsa' penyingkiran yang pertama.

Vokalis kumpulan Def Gab C itu bersama isterinya hanya sempat berada di dalam program terbitan Astro ini dan mempelajari teknik-teknik menari selama seminggu. Namun, pasangan ini akur dengan keputusan undian juri dan penonton yang tidak menyebelahi mereka berbanding sembilan pasangan lain.

Program yang dihoskan oleh Linda Onn dan Fahrin Ahmad ini masih mengekalkan konsep pemarkahan yang sama seperti musim lalu di mana 50 peratus adalah daripada penilaian juri profesional manakala 50 peratus lagi adalah berdasarkan undian SMS penonton.

Juri tetap program ini adalah koreografer terkenal Linda Jasmine dan Hamzah Tahir manakala Sazlan Mat Adnan pula diundang selaku juri jemputan minggu ini.

Sepuluh pasangan ini akan dibimbing di bawah koreografer masing-masing di mana pada setiap minggu, mereka akan diberikan tema tarian yang perlu dipersembahkan pada konsert mingguan iaitu pada 'Malam Sehati Berdansa'.

Menariknya program ini juga, setiap pasangan tersebut turut mewakili badan-badan kebajikan tertentu yang mana pada setiap minggu, mereka akan menyumbang sebanyak RM1,000 selagi mereka masih kekal di dalam program ini.

Ashed dan Shima mewakili Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Khai dan Rosma (Yayasan Kebajikan Haiwan Kebangsaan Malaysia), Sabrina Ali dan Shahrin (Persatuan Kesihatan Mental Malaysia), Ani Maiyuni dan Zairi (Majlis Kanser Nasional), Jamal Jamaludin dan Faridah (Pusat Kebangsaan Autism Malaysia), Shahril Arsat dan Noraini (Yayasan Jantung Malaysia), Sasha Saidin dan Salyo (Persatuan Diabetes Malaysia), Amyza Aznan dan Khairil (Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia), Lisdawati dan Fauzi Nawawi (Rumah Nur Salam) serta Mazin dan Anisa (Persekutuan Orang Pekak Malaysia).

Mengulas mengenai penyingkiran mereka, kata Ashed, dia akui agak kecewa kerana tersingkir pada minggu pertama program ini, apatah lagi kerana hanya mampu menyumbang sebanyak RM1,000 saja kepada badan kebajikan yang mereka wakili.

Namun begitu, tambahnya, dia dan isteri tetap memasang hasrat untuk membantu Persatuan Pencinta Alam Malaysia walaupun kini telah tersingkir daripada program tersebut.

Ashed juga turut melahirkan perasaan gembiranya kerana berpeluang menyertai Sehati Berdansa musim ini meskipun dia dan isteri tidak pernah mempunyai asas menari sebelum ini.

"Banyak benda yang kita akan terlibat walaupun tidak diberi banyak ruang. Setakat ini, kami hanya sempat belajar tarian selama tiga hari. Walaupun sudah tersingkir, kami tetap akan belajar menari selepas ini," tutur Ashed yang ditemui selepas diumumkan tersingkir malam tadi.

Dalam pada itu, koreografer mereka, Suriati Osman berharap pada juri akan memberikan komen-komen yang lebih membina kelak

"Mereka perlu memberi komen yang membuatkan tahap peserta akan lebih meningkat. Tetapi saya lihat komen yang mereka berikan itu tidak langsung membantu," kata Suriati yang dikenali dengan nama Tia.

Dengan penyingkiran tersebut, sembilan lagi pasangan masih berpeluang untuk merebut gelaran juara Sehati Berdansa musim kedua setelah musim lalu menyaksikan pasangan selebriti Vanidah Imran dan Rashidi Ishak telah dinobatkan sebagai juara sulungnya.

Khai - Rosma menyerlah di minggu pertama

Sabtu lalu dengan bertemakan malam disko, sepuluh pasangan Sehati Berdansa musim kedua telah mempamerkan persembahan sulung mereka. Sudah pastinya, tidak semua pasangan mampu menampilkan tarian hebat apatah lagi ada juga pasangan yang tidak pernah langsung mempunyai sebarang pengalaman menari.

Namun begitu, mereka tetap menunjukkan usaha yang tinggi terhadap tarian 'disko' yang menjadi tema minggu tersebut. Bintang Akademi Fantasia (AF) musim pertama, Khai dan Rosma menerima markah tertinggi daripada pihak juri dengan aksi lincah mereka menarikan lagu Si Gadis Ayu.

Pengalaman mengutip sedikit ilmu tarian daripada tenaga pengajar AF, Linda Jasmine ketika menyertai program realiti itu kira-kira enam tahun lalu ternyata membuahkan hasil apabila pasangan yang baru saja berkahwin pertengahan tahun ini mempamerkan persembahan yang cukup menarik.

Begitu juga pasangan pelakon Lisdawati dan suami, Fauzi Nawawi yang turut memberikan persembahan yang bertenaga pada malam itu.

Menerusi lagu Kasih yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman, pasangan ini mempamerkan gerak tari bak penari profesional, terutamanya Fauzi yang berjaya memukau pihak juri.

Pasangan-pasangan lain yang turut menampilkan persembahan yang tidak menghampakan ialah Sabrina Ali dan suami, Shahrin, Ani Maiyuni dan Zairi, Sasha dan Salyo serta Mazin dan Anisa.

Empat pasangan lain iaitu Amyza dan Khairil, Jamal dan Ida, Ashed dan Shima serta pemain bola sepak Shahril dan Noraini bagaimanapun menerima markah juri yang agak rendah.

Rata-rata juri merasakan persembahan pasangan-pasangan ini ada yang terlah mudah gerah tarinya serta kurang bertenaga.

Ternyata penilaian juri itu turut memberi impak kepada Ashed dan Shima apabila mereka juga gagal meraih undian yang secukupnya daripada penonton dan sekaligus membuatkan mereka menjadi pasangan pertama yang tersingkir.

Apapun, ini baru permulaan buat peserta-peserta Sehati Berdansa musim ini.

Sembilan pasangan yang berjaya mara ke minggu seterusnya masih mempunyai peluang untuk memperbaiki kelemahan masing-masing dan melakukan yang terbaik pada persembahan mereka yang seterusnya Sabtu depan!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain