suria

Hasil lakonan kepuasan Ayu Raudhah

RAMAI yang mengenali pelakon cantik Ayu Raudhah Che Wan melalui drama bersiri Manjalara yang disiarkan di TV3 tahun lalu.

Namanya semakin menjadi sebutan apabila gadis berusia 24 tahun ini ditawarkan berlakon beberapa buah drama dan telefilem tempatan seperti Terima Kasih Ana, Berakhirnya Satu Penantian, Hidayah 2, dan yang terbaru, Sutera Maya.

Melihatkan kepada pencapaian Ayu sejak berlakon selama lebih dua tahun ini, menurut Ayu, tiada apa yang membanggakan dirinya selain melihat hasil lakonannya selama ini.

"Itulah kepuasan bagi saya." katanya.

Atas hasil penat lelahnya berlakon selama ini, Ayu merancang untuk membeli sebuah rumah di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Apabila bercerita tentang teman lelaki, adik kepada aktres Rozita Che Wan ini menerima sesiapa sahaja jika itu adalah jodohnya.

Namun, buat masa ini Ayu belum berjumpa dengan seseorang yang mampu membuat hatinya tertawan.

Dalam masa yang sama, Ayu seakan-akan belum bersedia kerana jadual kerja yang padat membuatkan dirinya sukar menguruskan masa untuk menghabiskan masa bersama keluarga.

Jika mempunyai kelapangan waktu, barulah Ayu akan meluangkan masa dengan keluarganya melakukan aktiviti riadah seperti bermain futsal atau tenpin boling.

Bercerita tentang kisah cintanya, Ayu pernah putus cinta dengan seorang pelakon pada tahun lepas.

Pengalaman tersebut membuatkan Ayu membuat keputusan untuk mencari pasangan yang lebih tua darinya, memahami dan menghargai dirinya serta boleh membimbingnya pada masa akan datang.

"Saya terima jodoh dengan sesiapa sahaja." jawab Ayu ringkas.

Karektor lakonan mempengaruhi tawaran

Kata peminat penyanyi Jennifer Lopez dan pelakon Johnny Depp ini, setiap tawaran lakonan biasanya dipengaruhi oleh karektor yang dibawa dalam lakonannya sebelum itu.

"Memang lakonan saya sebelum itu ada mempengaruhi lakonan saya yang berikutnya. Kadangkala, saya selalu mendapat karektor yang sama. Contohnya, lakonan bertudung saya dalam drama Manjalara membuatkan saya diundang sekali lagi untuk melakonkan gaya yang sama dalam drama Hidayah 2.

"Selepas saya berlakon drama Sutera Maya dengan watak seorang yang kelakar dan pelik, jadi lepas ni saya menerima karektor yang lawak sedikit," ulasnya yang sedang mengikuti pengambaran Sutera Maya sehingga bulan Disember nanti.

Antara Arisa dan Ayana

Melalui drama terbaru Ayu iaitu Dari Mata Arisa, dia melakonkan watak gadis kembar iaitu Arisa Nurailiz dan Ayana yang bakal disiarkan oleh RTM 1 mulai 3 November depan, setiap Isnin, pukul 9 malam.

Drama terbitan Bright Network Sdn. Bhd. ini mengisahkan Arisa yang pada zahirnya seorang yang periang, tetapi sebaliknya gelak ketawa, senda guraunya tersimpan satu kisah yang agak pahit untuk ditelan. Adik kembarnya, Ayana telah pergi bersama cinta yang tidak kesampaian dan keluarganya telah dibenci oleh ibu saudaranya sendiri.

Kehadiran Eddy Sham (Ashraf Muslim) dan Akif Zamani (Syed Aiman) telah mengocak jiwa remaja Arisa. Kedua-duanya mempunyai personaliti yang menarik dan berkarisma. Mereka mempunyai impian yang sama iaitu ingin memberi dan menerima cinta. Di sebalik kekeliruan Arisa untuk memilih cinta Akif dan Eddy, Not dan Lily menjadi teman yang sentiasa bersamanya.

Arisa akhirnya telah menerima cinta Akif. Sayang sekali, di saat cinta sampai ke puncak, sesuatu yang tidak diingini berlaku. Dari Mata Arisa ini merupakan drama diadaptasi dari novel Kau Sayangku nukilan penulis tersohor, Bikash Nur Idris dan skripnya ditulis semula oleh Sujiah Salleh dalam 40 episod.

Menurut Ayu, watak kembar lakonannya memberikan pengalaman baru buatnya.

"Saya perlu berlakon dalam babak yang sama sebanyak dua kali. Jadi, agak penat sedikit dan saya juga perlu menjaga 'continuity'. Apabila bergerak dan melakukan ekspresi muka, saya perlu pandai membezakan antara watak Ayana dan Arisa agar kedua-duanya tidak nampak sama.

"Ayana jenis seorang yang berani kerana benar manakala Arisa pula seorang yang penakut. Kadangkala, watak-watak ini membuatkan saya konfius. Ia memang mencabar," cerita Ayu mengenai drama arahan Meor Hashim Manap ini.

Bekerja di bawah arahan pengarah berpengalaman ini, Ayu berkata Meor banyak memberikan nasihat dari segi menjiwai karektor dan memberikan kebebasan kepadanya untuk melakukan apa sahaja.

"Tetapi semuanya dikawal olehnya dan saya akan memberikan pendapat tentang apa yang saya inginkan. Alhamdulillah, senang sahaja bekerjasama dengannya. Kami tiada masalah dan mereka semua sudah dianggap sebagai famili," jelas Ayu yang pertama kali berlakon di bawah terbitan syarikat milik produser Raja Alawiah Idris itu.

Ditanya sama ada Ayu akan bekerja dengan Bright Network lagi selepas ini, kata Ayu, dia belum dapat membuat keputusan dan terpulang kepada Raja Alawiah untuk mengambilnya atau tidak.

Saksikan drama 40 episod Dari Mata Arisa setiap Isnin, pukul 9 malam, mulai 3 November di RTM 1.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain